Ya... UMNO perlu kembali kepada suntikan zat kesukarelaan dalam perjuangan jihad maruah agama dan bangsa.
Sejarah telah jelas menunjukkan bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan dahulu memerlukan pengorbanan masa, fikiran, wang ringgit, keringat dan tulang empat kerat. Tanpa mengenal latar status, profesion dan warna kulit.
Malah tuntutan bagi mengekalkan nikmat kemerdekaan yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang ini juga menuntut kita berjuang. Tetapi dalam bentuk fitrah yang lebih kompleks dan global.
Hal ini dapat diterjemahkan dan diamalkan sekiranya seseorang individu itu memiliki nilai dan semangat kesukarelaan dalam diri.
Individu pemimpin yang memiliki ciri-ciri nilai kesukarelaan ini jelas mempamerkan nilai kemanusiaan dan empati yang tinggi secara natural. Ia terpancar dari kalbu yang bersih dan tulus suci. Sebenarnya pemimpin ini adalah seorang insan yang kamil.
Antara kelebihan yang ketara terpancar dari tingkah lakunya adalah seperti berikut;
- Segala usaha yang dilakukan adalah untuk keredaan Allah, kerana beliau faham dan maklum akan peranan dan tanggungjawabnya selaku Khalifah Allah. Iaitu segala perlakuannya adalah jihad dan ibadah demi kesejahteraan ummah dan alam sejagat. Maka dia akan menjauhi amalan rasuah dan lain-lain perkara yang mungkar. Baginya hidup adalah berlandaskan Al-Quran dan Hadis.
- Segala ummah adalah hamba Allah. Tiada membezakan fahaman ideologi, agama, warna kulit, rupa atau kaum. Maka dengan rendah hati dan hati serta dada yang lapang dia akan mendekati segenap lapisan masyarakat dengan rasa hormat. Oleh itu dia sudah pasti konsep 1 Malaysia telah menjadi nadi amalan hidupnya. Insan pemimpin yang memiliki nilai rendah hati ini mudah didekati oleh semua golongan. Dia akan menguruskan segala urusan dengan penuh hemah dan kreatif. Ia sudah pasti memiliki EQ yang tinggi di samping IQ yang rasional berpaksikan iman dan taqwa.
- Menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas tanpa riak dan sombong. Baginya jawatan adalah amanah; tugas adalah ibadah; ibadahnya kerana atas niat kerana Allah. Dia berjihad menentang segala kebatilan dan kekufuran dengan penuh tawaduk.
- Insan yang memiliki semangat kesukarelaan sedia serta cepat belajar dan sentiasa cintakan ilmu kebaikan. Baginya yang berilmu dan maha mengetahui adalah Allah.
- Sesungguhnya insan pemimpin yang memiliki nur kesukarelaan ini memiliki multi-skill. Di mana dia bukan sahaja seorang pemikir, malah dia juga berupaya merancang, merangka kerja, mengurus, menyelia, memantau dan menilai. Dia juga seorang yang kreatif dan inovatif. Bukan itu sahaja, sebenarnya dia bijaksana mengatur dan mengurus sumber serta masa. Kebiasaannya mereka ini adalah seorang yang serius dalam tugas yang dilakukan dan mempunyai matlamat yang mahu dicapai bagi jangka yang tertentu. Mereka ini bukan jenis orang curi tulang atau mengipas. Itu sebabnya segala sentuhannya akan menjadi, ini yang menyebabkan mereka selalu menjadi mangsa hasad dengki.
Dengan hati yang tulus saya menyeru seluruh ahli UMNO dan masyarakat Malaysia agar bersama melakukan anjakan paradigma dalam hidup agar menyuburkan nilai kesukarelaan dalam diri dengan segera dan sedar.
Hidup UMNO ........... nadi negara bangsa 1 Malaysia.