1/1/11 adalah tarikh keramat. Ia juga menjadi tanda aras pencapaian diri ini pada 2010. Bagaimana dengan anda?
Aku terus memacu azam bagi meningkatkan kecermalangan sumbangan kepada keluarga tercinta dan masyarakat umum. Namun aku lebih memberi tumpuan kepada ahli keluarga. Oleh itu aku telah mengambil keputusan meletakkan jawatan di Total Genius Sdn Bhd pada 31/12/2010 lalu.
Walaupun berat untuk meninggalkan kerjaya yang amat secucuk dengan kelayakan yang ku miliki, namun demi zuriat yang Allah telah amanatkan kepadaku lebih diutamakan. Merekalah yang bakal menentukan kualiti keturunanku pada masa depan.
Hal ini amat menyentuh dalam kalbu, kerana amnya usia umat Muhamad s.a.w. hingga 60 tahun. Jikalau dihitung Insya-Allah, aku mempunyai tempoh hanya 15 tahun lagi bersama dengan yang tersayang. Aku sedar sebelum ini masaku banyak diluangkan kepada kerjaya dan masyarakat.
Detik kesedaran ini, mulai berputik setelah pemergian arwah abah. Sesungguhnya masa yang diperuntukan bersama aku dan ahli keluarga yang lain amat bermakna. Banyak kenangan yang kami cipta bersama. Tetapi bagaimana dengan kehadiran diriku kepada anak-anak?
Percutian keluarga ke Medan
Maka kini, aku dapat melakukan bersama-sama dengan anak-anak.
Sungguhpun demikian aku juga akan tetap menyumbang pengalaman dan pengetahuan yang ada secara freelance dengan bebas kerana segalanya aku sendiri akan menentukan masa dan bidang tugas yang mahu dilakukan.