Sabtu, 20 April 2019

Main Fitrah Kanak-Kanak



Ketika main kanak-kanak meneroka sekeliling.


Main sebenarnya membantu kanak-kanak membina perkembangan domain afektif  yang melibatkan pembentukan jati diri, ketrampilan diri, pemupukan nilai murni seperti motivasi intrinsik, penglibatan, ketahanan, kemahiran interpersonal, keyakinan diri dan berani bertindak.  Kemahiran ini boleh dirangsang sejak kecil di rumah.  Dari perspektif Islam ia merujuk kepada adab, akhlak dan disiplin anak-anak semasa bersama keluarga juga di luar rumah.   

Misalnya ketika bermain bersama adik, ibu bapa perlu mengasuh dan membimbing adab untuk main bersama, sedia berkongsi dan menunggu giliran.  Sifat sedia membantu orang lain turut terlibat dalam proses ini.  Seperti selepas bermain mereka perlulah mengemaskan barang permainan dan menyimpannya di tempat yang telah disediakan.   Amalan Ini melibatkan rangsangan perkembangan sosio emosi kanak-kanak yang ibu bapa boleh pasakkan di rumah  sebagai persediaan awal anak-anak di hantar ke pusat pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak sama ada TASKA atau TADIKA.


Kehadiran ibubapa amat bermakna.


Hindari menyerahkan 100 peratus pihak pusat TASKA dan TADIKA dalam pembentukan adap, akhlak dan disiplin anak anugerah dan amanah Allah kepada kita selaku ibu bapa. 

Melalui permainan kanak-kanak perlu melibatkan diri secara aktif dan sekaligus memberikan makna ke atas perkembangan emosi mereka seperti seronok, gembira, ketawa sekaligus dapat mengurangkan ketegangan emosi yang dialami oleh kanak-kanak (Najeemah Mohd Yusof, 2015).

Apabila kanak-kanak bermain, mereka akan menddapat kebebasan untuk meneroka dan  menjelajah persekitaran mereka secara bebas, untuk mendapatkan kegembiraan, sekaligus mempelajari peraturan permainan yang disertai mereka (Isenberg & Jolongo, 2000).

Menurut National National Association for The Education of Young Children (NAEYC) mentakrifkan bahawa kanak-kanak awal adalah lingkungan usia lahir  hingga mencecah usia lapan tahun kanak-kanak adalah tempoh paling aktif untuk kanak bermain. Bermain adalah hak atau rutin harian yang perlu diberikan oleh ibu bapa.  Malah guru pendidikan awal kanak-kanak, pengasuh taska dan juga masayarakat umum.   harus memainkan peranan dalam usaha membantu kanak-kanak mendapatkan hak mereka (Mariani Md Nor et. al, 2014).  Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), telah menghasilkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang memberi penekanan terhadap pendekatan belajar melalui bermain dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak di prasekolah dan tadika.


Semasa bermain, kanak-kanak berpeluang belajar berinteraksi dengan orang lain secara positif, mengajak kanak-kanak keluar daripada pola egosentrik, mengambil kira pandangan rakan, menghormati hak orang lain, bersabar dan bertolak ansur.

Secara umum, selain perkembangan sosio emosi, bermain turut  membantu kanak-kanak dalam meningkatkan perkembangan fizikal, perkembangan kognitif dan perkembangan bahasa.

1. Perkembangan Fizikal
 Kanak-kanak menguasai kawalan motor halus dan motor kasar melalui bermain. Kemahiran motor kasar yang dapat dikembangkan melalui aktiviti seperti berlari bebas, melompat, memanjat, menendang, mengangkat, membaling dan menyambut (bola). Ini memberi kesedaran kepada kanak-kanak tentang fungsi badan sendiri, kegunaan ruang dan arah tujuan.  Aktiviti membutang, mewarna, melukis, menampal dan mencantum dapat mengembangkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan. Kemahiran manipulatif dapat dibina melalui aktiviti seperti mencucuk benang ke dalam manik, jigsaw puzzles, mengikat reben, kraft tangan dan membentuk menggunakan doh.

2.  Perkembangan Kognitif.
Kajian mendapati bahawa aktiviti bermain adalah sangat penting untuk perkembangan kognitif kanak-kanak (Roskos dan Christie,2007 dan  Wortham, S. C. ,2014). Pada peringkat usia prasekolah aktiviti  pengajaran berunsurkan permainan adalah sangat digemari oleh kanak-kanak.   Pada tempoh usia tersebut kanak-kanak memfokuskan perhatian berpusatkan objek dan persekitaran mereka.  Oleh itu, kanak-kanak harus diberikan peluang membina kemahiran dan imaginasi mereka hasil interaksi dengan persekitaran sebenar.  Kehadiran Ibu bapa atau guru bersama ketika anak-anak bermain boleh mewujudkan suasarana pembelajaran secara induktif menerusi pertanyaan soalan terbuka yang sesuai bagi meningkatkan kemahiran cuba jaya. 

Pendekatan  ini dikenali sebagai “Zone Of Proximal Development”  (ZPD) di mana orang dewasa berperanan sebagai pemudahcara atau pembantu  kanak-kanak  untuk dapat melaksanakan setiap tugasan  dalam setiap permainan.  Dalam ZPD terdapat satu teknik yang dinamakan sebagai “scaffolding”, iaitu orang dewasa mengurangkan bantuan ke atas kanak-kanak sedikit demi sedikit sehingga kanak-kanak mampu berdikari melaksanakan  sesuatu permainan atau tugasan tanpa sebarang bantuan.   Melalui pendekatan bermain ini juga kanak-kanak dapat  mengatasi kebimbangan, konflik, rasa tidak selesa, rasa malu dan sekaligus dapat membantu di dalam proses adaptasi mereka.

Menerusi aktiviti bermain kanak-kanak dapat meningkatkan penghargaan kendiri dan keyakinan diri  (Santrock , 2007).

3.  Perkembangan Bahasa.
Aktiviti bermain dapat meningkatkan kemahiran bahasa kanak kanak dari masa ke sesama yang lain.  Kajian mendapati kebanyakan kanak kanak mampu mengenal pasti perkataan yang digunakan oleh mereka ketika bermain (Cristie dan Roskos ,2009).   Sebagai contoh, kanak-kanak  mengunakan perkataan yang santai ketika bermain, mereka lebih peka sekiranya pembelajaran diadakan secara santai tanpa memberikan tekanan kepada mereka. Justeru itu, belajar melalui bermain merupakan pendekatan terdekat dalam pembelajaran di peringkat awal kanak kanak prasekolah.

Justeru itu ibu bapa atau pendidik awal kanak-kanak atau pengasuh di pusat jagaan, berilah masa kualiti untuk berinteraksi dengan anak-anak ketika bermain.  Kehadiran anda amat penting dalam merangsang perkembangan holistik kanak-kanak.  Malah detik bersama dengan mereka ini dapat anda manfaatkan untuk  menanamkan tauhid kepada Allah, sifat kesyukuran dan peranan selaku Khalifah Allah yang bertunjangkan akhlak Rasulullah SAW iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatonnah.   

Rujukan :

Zaleha Damanhuri. (2017). Perkembangan Main Dalam Kalangan Kanak-Kanak Awal. Kolej Universiti Islam Melaka. Jurnal Sains Sosial Malaysian Journal of Social Science Jilid 2 2017: 144-155.  Retrieved from  file:///C:/Users/User/Downloads/216-383-1-SM.pdf acessed on 4/20/19.



Tiada ulasan:

Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...