Khamis, 2 Mei 2019

KEMAHIRAN ASAS KANAK-KANAK SEBELUM KE TASKA ATAU TADIKA.





Kanak-kanak seorang individu yang unik.  Pada pengamatan saya selama menjadi pendidik awal kana-kanak dan ibu, mereka seorang Khalifah Allah yang misteri dan penuh kejutan.  Masya-Allah, itulah anugerah dan amanah Allah kepada kita – ibu ayah dan pendidik.  Dalam Al-Quran jelas menyatakan kanak-kanak ini umpama kain putih, ibu bapa dan pendidik yang mencorakkannya.

Subhanallah, lingkungan usia dua tahun hingga empat tahun keupayaan kanak-kanak minda mereka menerima ilmu dan maklumat amat pantas.  Kita selaku instruktor atau fasilitator perlu bijaksana merancang perkara yang perlu mereka pelajari dalam menguruskan diri mereka.

Misalnya sebelum anak di hantar ke taska atau tadika, ibu ayah  perlu membimbing kanak-kanak ini asas kemahiran untuk mengenal dan menyebut nama objek – barangan miliknya.   Seperti warna bag, tag nama yang terpamer.   Seboleh mungkin anak ini boleh menyuarakan frasa ayat yang sesuai apabila memerlukannya.   Hal ini memudahkan petugas di taska memenuhi keperluannya dengan pantas.  Mengapa?  Bagi mengharmonikan hubungan bonding antara anak anda dan petugas.   Anak anda gembira.  Petugas pula efision melaksanakan tanggungjawabnya.

Kanak-kanak ada asas adap bersosial di institusi dengan pelbagai peringkat umur, dewasa atau rakan sebayanya.   Antaranya, memberi salam, ada sikap sabar serta boleh memahami arahan serta mengikuti peraturan dan rutin organisasi.   Kemahiran ini boleh diasuh di rumah dalam tempoh minimum tiga bulan sebelum kanak-kanak berada di persekitaran yang sebenar. 

Asuh dan bimbing kanak-kanak dengan penuh disiplin dan fleksibal yang berhekmah dan sabar.   Perlu diingat elak mudah tunduk dengan drama tangisan anak pada minggu pertama ketika di tinggalkan di taska.    Positifkan diri dan tawakal kepada Allah.   Ketenangan ibu ayah adalah ketenangan emosi dan minda anak juga.   Sesungguhnya ia suatu proses kehidupan anak untuk bersaing dengan insan lain di dunia ini.  

Rabu, 1 Mei 2019

Main: Cermin Kerjaya Anak Anda



Hormati buah fikiran anak anda.  Dengari pandangan mereka.


Fitrah kanak-kanak tidak boleh dipisahkan dengan bermain.  Main adalah cara kanak-kanak meneroka pengalaman baru berkenaan sesuatu perkara.  Perhatikan fokus pilihan jenis permainan yang anak anda gemari.  Kemudian teliti ucapan dan perbualan beliau ketika bermain bersama rakan.  

Misalnya apabila kanak-kanak bermain masak-masak.  Perhatikan gaya lakonannya.  Adakah seperti anda di dapur?  Atau lagaknya seperti Dr Fazli, di Youtube?  Atau bagai Ketua Chef di hotel lima bintang?   

Peranan anda adalah join anak anda main sebagai pelakon tambahan.  Anda perlu melontarkan pertanyaan seperti tentang apa yang boleh di bantu; apa nama objek yang digunakan;  bagaimana hendak menyediakan menu tersebut dan sebagainya.  Pertanyaan jenis soalan terbuka amat digalakkan.  Oleh kerana ia membantu kanak-kanak berimaginasi tinggi untuk merungkai jawapan kepada persoalan yang anda utarakan.   

Frobel menyatakan main adalah pekerjaan kanak-kanak.  Selaku ibu bapa rangsanglah minat anak anda agar menjadi realiti apabila dewasa kelak.  Sokongan anda membantu mereka membina disiplin diri untuk membina masa depan yang sejahtera dari segi mental, emosi dan skill bidang kerja serta sahsiah kepimpinan diri IQ dan EQ.

Sabtu, 20 April 2019

Main Fitrah Kanak-Kanak



Ketika main kanak-kanak meneroka sekeliling.


Main sebenarnya membantu kanak-kanak membina perkembangan domain afektif  yang melibatkan pembentukan jati diri, ketrampilan diri, pemupukan nilai murni seperti motivasi intrinsik, penglibatan, ketahanan, kemahiran interpersonal, keyakinan diri dan berani bertindak.  Kemahiran ini boleh dirangsang sejak kecil di rumah.  Dari perspektif Islam ia merujuk kepada adab, akhlak dan disiplin anak-anak semasa bersama keluarga juga di luar rumah.   

Misalnya ketika bermain bersama adik, ibu bapa perlu mengasuh dan membimbing adab untuk main bersama, sedia berkongsi dan menunggu giliran.  Sifat sedia membantu orang lain turut terlibat dalam proses ini.  Seperti selepas bermain mereka perlulah mengemaskan barang permainan dan menyimpannya di tempat yang telah disediakan.   Amalan Ini melibatkan rangsangan perkembangan sosio emosi kanak-kanak yang ibu bapa boleh pasakkan di rumah  sebagai persediaan awal anak-anak di hantar ke pusat pengasuhan dan pendidikan awal kanak-kanak sama ada TASKA atau TADIKA.


Kehadiran ibubapa amat bermakna.


Hindari menyerahkan 100 peratus pihak pusat TASKA dan TADIKA dalam pembentukan adap, akhlak dan disiplin anak anugerah dan amanah Allah kepada kita selaku ibu bapa. 

Melalui permainan kanak-kanak perlu melibatkan diri secara aktif dan sekaligus memberikan makna ke atas perkembangan emosi mereka seperti seronok, gembira, ketawa sekaligus dapat mengurangkan ketegangan emosi yang dialami oleh kanak-kanak (Najeemah Mohd Yusof, 2015).

Apabila kanak-kanak bermain, mereka akan menddapat kebebasan untuk meneroka dan  menjelajah persekitaran mereka secara bebas, untuk mendapatkan kegembiraan, sekaligus mempelajari peraturan permainan yang disertai mereka (Isenberg & Jolongo, 2000).

Menurut National National Association for The Education of Young Children (NAEYC) mentakrifkan bahawa kanak-kanak awal adalah lingkungan usia lahir  hingga mencecah usia lapan tahun kanak-kanak adalah tempoh paling aktif untuk kanak bermain. Bermain adalah hak atau rutin harian yang perlu diberikan oleh ibu bapa.  Malah guru pendidikan awal kanak-kanak, pengasuh taska dan juga masayarakat umum.   harus memainkan peranan dalam usaha membantu kanak-kanak mendapatkan hak mereka (Mariani Md Nor et. al, 2014).  Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), telah menghasilkan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK) yang memberi penekanan terhadap pendekatan belajar melalui bermain dalam proses pengajaran dan pembelajaran kanak-kanak di prasekolah dan tadika.


Semasa bermain, kanak-kanak berpeluang belajar berinteraksi dengan orang lain secara positif, mengajak kanak-kanak keluar daripada pola egosentrik, mengambil kira pandangan rakan, menghormati hak orang lain, bersabar dan bertolak ansur.

Secara umum, selain perkembangan sosio emosi, bermain turut  membantu kanak-kanak dalam meningkatkan perkembangan fizikal, perkembangan kognitif dan perkembangan bahasa.

1. Perkembangan Fizikal
 Kanak-kanak menguasai kawalan motor halus dan motor kasar melalui bermain. Kemahiran motor kasar yang dapat dikembangkan melalui aktiviti seperti berlari bebas, melompat, memanjat, menendang, mengangkat, membaling dan menyambut (bola). Ini memberi kesedaran kepada kanak-kanak tentang fungsi badan sendiri, kegunaan ruang dan arah tujuan.  Aktiviti membutang, mewarna, melukis, menampal dan mencantum dapat mengembangkan kemahiran motor halus dan koordinasi mata-tangan. Kemahiran manipulatif dapat dibina melalui aktiviti seperti mencucuk benang ke dalam manik, jigsaw puzzles, mengikat reben, kraft tangan dan membentuk menggunakan doh.

2.  Perkembangan Kognitif.
Kajian mendapati bahawa aktiviti bermain adalah sangat penting untuk perkembangan kognitif kanak-kanak (Roskos dan Christie,2007 dan  Wortham, S. C. ,2014). Pada peringkat usia prasekolah aktiviti  pengajaran berunsurkan permainan adalah sangat digemari oleh kanak-kanak.   Pada tempoh usia tersebut kanak-kanak memfokuskan perhatian berpusatkan objek dan persekitaran mereka.  Oleh itu, kanak-kanak harus diberikan peluang membina kemahiran dan imaginasi mereka hasil interaksi dengan persekitaran sebenar.  Kehadiran Ibu bapa atau guru bersama ketika anak-anak bermain boleh mewujudkan suasarana pembelajaran secara induktif menerusi pertanyaan soalan terbuka yang sesuai bagi meningkatkan kemahiran cuba jaya. 

Pendekatan  ini dikenali sebagai “Zone Of Proximal Development”  (ZPD) di mana orang dewasa berperanan sebagai pemudahcara atau pembantu  kanak-kanak  untuk dapat melaksanakan setiap tugasan  dalam setiap permainan.  Dalam ZPD terdapat satu teknik yang dinamakan sebagai “scaffolding”, iaitu orang dewasa mengurangkan bantuan ke atas kanak-kanak sedikit demi sedikit sehingga kanak-kanak mampu berdikari melaksanakan  sesuatu permainan atau tugasan tanpa sebarang bantuan.   Melalui pendekatan bermain ini juga kanak-kanak dapat  mengatasi kebimbangan, konflik, rasa tidak selesa, rasa malu dan sekaligus dapat membantu di dalam proses adaptasi mereka.

Menerusi aktiviti bermain kanak-kanak dapat meningkatkan penghargaan kendiri dan keyakinan diri  (Santrock , 2007).

3.  Perkembangan Bahasa.
Aktiviti bermain dapat meningkatkan kemahiran bahasa kanak kanak dari masa ke sesama yang lain.  Kajian mendapati kebanyakan kanak kanak mampu mengenal pasti perkataan yang digunakan oleh mereka ketika bermain (Cristie dan Roskos ,2009).   Sebagai contoh, kanak-kanak  mengunakan perkataan yang santai ketika bermain, mereka lebih peka sekiranya pembelajaran diadakan secara santai tanpa memberikan tekanan kepada mereka. Justeru itu, belajar melalui bermain merupakan pendekatan terdekat dalam pembelajaran di peringkat awal kanak kanak prasekolah.

Justeru itu ibu bapa atau pendidik awal kanak-kanak atau pengasuh di pusat jagaan, berilah masa kualiti untuk berinteraksi dengan anak-anak ketika bermain.  Kehadiran anda amat penting dalam merangsang perkembangan holistik kanak-kanak.  Malah detik bersama dengan mereka ini dapat anda manfaatkan untuk  menanamkan tauhid kepada Allah, sifat kesyukuran dan peranan selaku Khalifah Allah yang bertunjangkan akhlak Rasulullah SAW iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatonnah.   

Rujukan :

Zaleha Damanhuri. (2017). Perkembangan Main Dalam Kalangan Kanak-Kanak Awal. Kolej Universiti Islam Melaka. Jurnal Sains Sosial Malaysian Journal of Social Science Jilid 2 2017: 144-155.  Retrieved from  file:///C:/Users/User/Downloads/216-383-1-SM.pdf acessed on 4/20/19.



Rabu, 17 April 2019

KEMBALI BELAJAR ..


Belajar menuntut ilmu dalam apa jua peringkat usia memberi makna yang tinggi kepada minda.  Minda akan terus aktif berfungsi.  ya bekerja untuk mengingat fakta, berfikir menyelesaikan masalah, menakkul bagi mendapatkan penemuan dan kefahaman konsep dan ilmu baru.
Ilmu yang dipelajari mewarnai corak aliran neuron.  Ia amat mencabar trafik informasi maklumat yang berkitar dalam memori.  Khususnya untuk menyusun penuh strategik sama ada dalam folder memori jangka pendek atau memori jangka panjang.
Sesungguhnya belajar pemacu budaya fikir dalam kehidupan.


Rabu, 13 Mac 2019

Senyum...Seindah Suria...Sayang...Sayang.....Sayang...........

😊😊
Bagaimana  suasana taska/tadika anda sekarang?
Masih ramaikah anak-anak yang masih meronta dan menangis pada awal pagi meragam sindrom tempoh peleraian dengan ibu bapa?
Apakah perasaan anda ketika itu?
Macam mana reaksi anda terhadap cabaran tersebut?

Emmm.....
Anda perlu sentiasa tenang dan fokus kepada matlamat diri ketika memohon kerja dalam bidang industri pendidikan awal kanak-kanak.

Selaku ibu bapa ganti, anda haruslah membuka seluas-luasnya ruang bagi anak-anak ini mendapat kasih sayang yang sejati.

"Bagaimana untuk memulakannya, kerana saya belum berkahwin?"  
In Shaa Allah boleh.  Allah telah jadikan wanita ada naluri keibuan.  Bertanyalah kepada guru-guru otai anda.  Berdiskusilah dengan mereka yang ahli dan pakar dalam bidang ini.  Termasuklah ibu anda.  Malah anda boleh mengambil daripada pendekatan cara kita dibesarkan.  Paling mudah google.  Tambah kekerapan membaca artikel berkaitan hal ini.  

"Biar padan.  Ibu bapa dia cerewet bukan kepalang.  Memang sengaja hendak ibu bapa dia rasa getir menjaga anak dia yang asyik meragam.  Binggit tau.."

Kepada pendidik muda yang tidak memiliki pengalaman dalam bidang ini, perlu mencari peluang asas selaku entprerenur sosial .  

Ingatlah, anak-anak ini adalah makhluk Allah.  Mereka adalah pemimpin masa depan.  


You tube dan Video Ceriakan Sesi Induksi



Kaedah pengajaran dan pembelajaran berubah mengikut peredaran zaman.   Khususnya kini dunia digital telah menjadi suatu fenomena.  

Kepada para graduan kolej pendidikan awal kanak-kanak yang bakal melakukan praktikum, saya mencadangkan semasa sesi induksi gunalah video atau youtube yang bersesuaian dengan topik pengajaran.   Anda perlu membuat kajian dan merangkanya.

Contohnya jika tema haiwan, carilah video tentang bunyi haiwan atau habitatnya.  Pastikan anda memilih karektornya bersesuaian dengan minat kanak-kanak dan bersesuaian dengan adab budaya dan tidak bertentangan dengan akidah agama Islam.  

Oleh kerana sesi video ini mampu mengabungjalinkan tiga gaya kanak-kanak belajar iaitu secara visual (suka gambar yang berwarna-warni), audio (suka muzik dan pelbagai intonasi suara) dan kinestatik (suka menari dan gerakan badan).  

Ini membantu anda mewujudkan persekitaran pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan.   Apabila anak-anak didik telah berasa relax dan energy aktifnya telah dilepaskan semasa sesi induksi, pastinya mereka telah ada ikatan selesa dan selamat.  

Perlu ingat, anda bertanggungjawab kepada kemenjadian bakal generasi masa depan.  Anda adalah agen pemangkin pembangunan modal insan seperti yang terkandung dalam falsafah pendidikan negara iaitu melahirkan individu yang berilmu, berkemahiran dan holistik. 

Rabu, 29 Mac 2017

Adakah anda pasti mahu mengambil bidang Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak?

Saya mengucapkan tahniah kepada semua lepasan SPM 2016.

Sekali lagi diucapkan tahniah kepada anda yang memilih bidang Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak sama ada di institusi pendidikan tinggi awam  atau swasta.  Persaingannya tetap  hebat.

Lantaran itu, saya menyarankan anda membuat persiapan awal membaca bahan bacaan berkenaan ; 

1. Tafsiran kanak-kanak dari segi pandangan Tokoh-tokoh Islam dan Orientalis.
2. Dasar Pendidikan Negara.
3. Tokoh-tokoh yang dikaitkan dengan sejarah perkembangan pendidikan awal kanak-kanak.
4. Apa yang dimaksudkan pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak  dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek?
5. Teori-teori yang berkaitan 
6. Pedagogi.

Banyak lagi.

Selamat Maju Jaya.



 

Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...