Anak adalah amanah Allah. Mereka adalah 'little Khalifah' di alam maya ini. Mereka ini diibarat kain putih. Ibu bapalah yang menentukan coraknya. Khususnya bagi anak-anak yang berusia sebelum baligh. Iaitu diantara usia 4 tahun hingga 6 tahun.
Pada peringkat usia ini, kanak-kanak sedang aktif meneroka pengalaman baru dan gemar melakukan sesuatu yang mencabar keupayaannya.
Contoh yang paling hampir adalah puteri bongsu saya. Beliau telah mengajak rakan-rakan sebayanya gotong-royong mengangkat kerusi sewaktu para ibu bapa dan AJK Sukaneka Tadika KEMAS Kampung Padang Jawa, Klang sibuk menyusun atur kerusi meja daripada setting Majlis Perasmian ke ruang acara sukaneka indoor di Kompleks Komuniti Subang Jaya.
Pada awalnya ramai ibu bapa menegah. Maklumlah, kanak-kanak secara fitrahnya suka bermain. Apa tidaknya sebelum mengangkat kerusi mereka sorong kerusi tersebut seperti kereta.
Lalu saya rasionalkan golongan ibu bapa ini bahawa anak-anak ini boleh melakukan dengan cara yang betul sekiranya ada penyeliaan. Maka, saya menemui anak-anak itu, menerangkan kepada mereka kita perlu menyusun kerusi dan meja dengan cepat sebab hendak bermain lawan tiup belon, rebut kerusi, bawa pundi kacang. Kalau lambat, nanti lambatlah makan ayam goreng A&W.
Melihatkan mereka telah sedia maka saya pun memberitahu anak saya dan rakan-rakannya di mana kerusi berkenaan perlu diletakkan. Kemudian menunjukkan cara mengangkat kerusi berpasangan. Alhamdulillah, mereka melakukan assingment tersebut dengan jayanya. Emmm.... bukan main seronok lagi. Tetapi sesekali saya kena mengingatkan mereka agar tidak berlari ketika membawa kerusi tersebut bagi mengelakkan diri daripada terjatuh atau berlanggar antara kawan. Jikalau jatuh atau terluka nanti susah hendak bermain dalam acara sukaneka.
Secara tidak langsung mereka ini telah terlibat secara aktif dalam aktiviti gotong-royong. Atau juga kerja sukarela.
Bak kata pepatah Melayu hendak melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Begitu jugalah dengan amalan kesukarelaan ini. Yakinlah menerusi kesukarelaan anak kita belajar nilai-nilai berikut iaitu ;
- bekerjasama,
- bertolak-ansur,
- melakukan kerja mengikut peraturan,
- mengikut giliran,
- mematuhi arahan,
- mengutamakan keselamatan diri semasa melakukan kerja
- melaksanakan dalam 'timeframe' yang ditentukan
- saling hormat-menghormati
- bantu-membantu
- sentiasa sedia menghulurkan bantuan
- belajar melakukan tugasan baru dengan hati lapang
- menyesuaikan diri dalam masyarakat
Nilai-nilai berkenaan penting bagi perkembangan sosio-emosi kanak-kanak yang positif.
Insya-Allah, mereka akan menjadi generasi Malaysia yang prihatin dan berjiwa murni. Pada masa yang sama seawal usia ini kita telah membimbing mereka kemahiran multitasking. Ini adalah salah satu kemahiran soft skill yang amat ditekankan dalam modal insan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan