Khamis, 5 Januari 2012

PERSEKOLAHAN 2012 ... pelbagai nada cerita

aNAK-anak telah memulakan hari persekolahan 2012.

Biasalah,  anak-anak akan bercerita pengalaman hari pertama duduk di kelas baru.  Emm.. paling banyak cerita adalah Puteri ku Nur Sakinah.  Beliau amat teruja akan sistem undian pemilihan dirinya selaku Penolong Ketua Kelas.  Telah menang majoriti mengalahkan teman sekelas.  Kemudian, bagaimana dengan yakin dia pula mencalonkan rakan baiknya selaku Bendahari Kelas dan juga menang majoriti.

"Kinah, betul tak sangka kawan-kawan akan sokong Kinah"  bercahaya sinar matanya ketika mengungkapkan kata-kata tersebut.

"Umi, ok lah tu, abang Syafiq jadi pengawas perpustakaan,  abang Syahmi jadi pengawas dan Kina jadi Penolong Ketua Kelas:"  tambahnya lagi.

Selaku ibu aku memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi akan perkembangan positif ini.

Bagaimanapun aku teruntun dengan ungkapan kata dua orang ibu yang menolak tawaran anaknya untuk jawatan pengawas.  Sebabnya kos pakaian seragam yang mahal.  

Bagaimana reaksi anak mereka?

Menurut kata ibunya pada awalnya anak mereka memang menjauh diri.   Namun apabila dengan lembut mereka memujuk kerana ibu bapa tidak berkemampuan maka anak mereka menerima dengan rela.

Cerita ini aku kongsikan dengan anak-anak.  Lalu aku menyarankan agar mereka mengucapkan syukur kepada Allah kerana mereka berpeluang menikmati kemudahan yang dimiliki kini. 

Selasa, 3 Januari 2012

NGO millenium lebih terarah Nak Ganyang Orang

2012 menjelang.   Bertambah bilangan usia.   Cara pemikiran turut terarah.   

Hari ini entry saya Fokus kepada gerakan NGO dewasa kini.   Perjuangannya jelas berobjektifkan politiking.   Tambah-tambah dijangkakan PRU 13 tidak lama lagi.  

Ledakan acuan menyuarakan pendapat dalam bentuk demostrasi yang radikal dan terkadang memuncak kepada kejadian huru-hara, bangkit dalam Malaysia ekoran gerakan REFORMASI.   Kini terus menjadi ikutan bukan sahaja dijalanan malah mulai menyusur kubu institusi pengajian tinggi.

Pendekatan begini, mengusarkan saya.   Sebab saya tidak mahu persekitaran tumbesaran anak-anak saya dalam keadaan yang pincang sosiobudayanya.  Hilang etika nilai tatasusila.   Musnah keindahan aman hidup keluarga besar, masyarakat majmuk Malaysia. 

Persoalannya,  apakah faedah bentuk tindakan mereka itu kepada masyarakat jelata?  Adakah perjuangan itu miliki perancangan jelas sasaran yang mahu dicapai demi sumbangan kepada kemakmuran generasi masa depan?

Penyataan ini saya lontarkan agar kita semua terus bersatu menyumbang kepada keutuhan pembentukan masyarakat yang berintegriti, berdaulat serta berketrampilan.   Tanpa memperlekehkan Tauhid kepada Pencipta, Akhlak kepada sesama Manusia dan Alam.  Kerana itu menjadi paksi bangsa yang bertamadun tinggi yang holistik.  Bukan sahaja interligen fizikal akalnya.  Namun ia turut dimbangi oleh lestari dan kematangan emosi dan kemantapan praktikal spiritualnya dalam setiap langkah kehidupan sehariannya. 

Unsur-unsur tersebutlah yang mampu membangunkan modal insan dalam diri individu dengan kesedaran dan usaha pencarian sendiri.  Kecannya dapat menghidupkan celik mata hati dan minda sedar yang cuntas.

Justeru itu, insan ini akan merangka setiap perincian tindakan dan penglibatannya hanya berlandaskan kepentingan dan kesejahteraan ummah sejagat tanpa membataskan rasis, fahaman politik, agama dan latar sosial.   Bagi mereka kita semua adalah hamba Allah.   Yang membezakan dimataNya adalah iman dan taqwa.

Kenapa jadi demikian?

Oleh kerana mereka memahami dan menjalankan tanggungjawab selaku Khalifah Allah.   Insan ini menunaikan ibadah fardhu kifayah demi kesejahteraan ummah dan alam.

Apa kaitan dengan entry di atas?


Jelasnya,  dalam satu organisasi, persatuan dan perkumpulan, perlu pemimpin yang berfikiran seorang pejuang yang kritis dan berwawasan jauh. Tahu menyusun strategi sasaran kepada isu yang menjadi objektif penubuhan yang dipimpinnya.

Selaku pengikut/ahli pula perlu sedar akan hak dan tanggungjawab selaku warganegara Malaysia.   Iaitu tidak melibatkan diri dalam perkara yang tersasar jauh dari  5 perkara dalam RUKUN NEGARA. Oleh kerana jikalau dihalusi dengan mata hati bahawa Rukun Negara yang pertama menyatakan kepercayaan kepada Tuhan.  Maka, kita tidak boleh lari daripada tuntutan Rukun Islam dan Rukun Iman.   Salah satunya adalah mencintai watan.  Malah  kita dituntut menjadikan diri kita memberi manfaat kepada orang lain.  

Justeru itu usah mendekati aktiviti yang boleh merosakkan keamanan, kesejahteraan dan keharmonian negara.


Apa itu NGO sejati? 

NGO adalah non-goverment organisation.   Iaitu sektor ketiga penting selepas kerajaan (Raja-raja dan pemerintah eksekutif negara) dan korporat (sektor pemaju ekonomi negara).   Peranan NGO adalah berfungsi  sebagai agen check and balance sektor kerajaan dan sektor swasta.   

Menyedari akan hakikat tersebut, NGO perlu fokus kepada agenda utama pembangunan Negara Bangsa.  Pemimpinnya perlu fokus kepada objektif perjuangan berdasarkan kepakaran bidangnya.   

Bukan sekadar mengadakan piket tepi jalan dan melaporkan bantahan kepada balai polis.  Selepas itu apakah tindakan susulan mereka bagi mententeramkan umum.   Adakah mereka kenalpasti strategi yang boleh mengawal gelora arus emosi golongan yang obses sokongan kepada seorang individu? 

Rangka kerja mereka kena lebih daripada itu.   Kerja mereka umpama menjalinkan lapisan ice di permukaan lautan Antartika agar kukuh.  Lalu pembangunan lestari dapat dipacu atas permukaannya demi kepentingan umum.   Pada masa yang sama tidak mencemarkan air didasarnya.  

Umpama menarik rambut dalam tepung yang terakhir dalam simpanan.  Tepung tidak tumpah walau sedikit.  Apabila berjaya diuli hingga menjadi adunan yang boleh dimasak dan dihidangkan kepada mereka yang memerlukan demi kelangsungan hidup.

NGO bagaimana yang mampu memacu kesejahteraan Negara?

Saya terlibat hampir 23 tahun dalam organisasi NGO.  Ia bukan suatu jangka masa yang pendek.   Bermula dalam era akhir 80-an.    

FOMCA adalah sebuah organisasi NGO, non-profit dan non-politic yang amat terkesan cara perjuangannya dalam benak hati ini.

Saya berpeluang melalui zaman kesukarannya.   Seingat saya ada pada suatu peringkat 3 bulan gaji kami (3 orang sekretariat) menggunakan duit simpanan Presiden.   Siapa lagi beliau adalah Datuk Prof. Mohamad Hamdan Adnan.  Bekas mediang Bishan Singh, mantan Presiden FOMCA pula menjadi sumber inspirasi saya untuk terus berkhidmat.   Kedua-dua tokoh ini berjaya menzahirkan visi dan misi gerakan kepengunaan kepada saya.   Empati kepada pemasalahan masyarakat tambah kukuh dalam hati apabila turun padang ke luar bandar menerusi program ceramah, pameran dan klinik kelab pengguna sekolah.

Kepimpinan yang berprinsip, akan mengalurkan arah tuju perjuangan.  Ia umpama suatu pelayaran.   Nakhoda akan menentukan pelabuhan mana yang hendak disinggah.   Beliau juga yang akan memimpin anak-anak kapalnya bentuk bantuan kepakaran apa yang sesuai didagangkan kepada pelanggan yang ditemui pada waktu itu   Keuntungan sosial dan nilai wang sama ditentukan,

Pada masa itu FOMCA telah merintis pelbagai peringkat proses perbincangan meja bulat, memorandum dan bicara umum dengan masyarakat bawahan.  Mendengar rintihan mereka.   Kemudian dari masa ke semasa merangka program kempen pendidikan kesedaran.  Di susuli dengan kaji selidik dengan kerjasama kelompok akademik dan pakar dalam bidang tersebut.   Hasil dapatan kajian di bawah ke meja rundingan.  Di bahaskan isu berkenaan hingga ke peringkat Parlimen.   Maka, berjaya diwartakan suatu garis panduan bagi menangani masalah tersebut.

Bermula hal ehwal kepenggunaan negara diurustakbir oleh satu Jabatan dalam Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.  Akhirnya FOMCA berhasil meyakinkan kerajaan bahawa satu Kementerian khas amat relevan untuk Malaysia.   Iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal  Ehwal Pengguna.   Kini ditambah satu lagi portfolionya iaitu Koperasi.   

Begitu juga dengan Tribunal Pengguna yang ada sekarang.  Dahulunya dikendalikan oleh Biro Aduan di persatuan-persatuan pengguna negeri.  Bagaimanapun banyak limitasinya apabila ia dikelolakan oleh NGO.  iNI menafikan hak pengguna.   Menerusi Majlis Perundingan Pengguna Kebangsaan yang dianggotai juga oleh pakar perundangan negara dan para akademik maka faedahnya hak pengguna lebih terbela kini. 

Saya amat bersyukur diberi peluang bersama-sama melakar sejarah tersebut.  Keperitan kami dahulu adalah nikmat dan rahmat kepada semua kini.

Akhir kata,  selaku pemimpin masyarakat atau organisasi perlu sentiasa mengamalkan integriti, jujur, bersih, cekap dan amanah.   Pada masa yang sama,  saya mengingatkan diri, ahli keluarga, rakan taulan semua usah terpedaya dengan aktiviti yang tidak tuntas objektif  gerakannya.   Laksanakan hak dan tanggungjawab anda kepada agama, bangsa dan tanahair.    

Ingatlah,  kemakmuran, kemajuan dan kejayaan hari ini kita pinjam daripada generasi masa depan.   Maka janganlah musnahkannya.   Sebaliknya marilah bersama-sama kita menyumbang kepada penambahbaikan secara berhemah dan bermuafakat.

Wallahualam.


Ahad, 1 Januari 2012

AKU dan DIA

Aku dan Dia ... sama
1 Matlamat, 1 Tujuan, 1 Wawasan
Aku perantau sejati, harus tahu bawa diri
ingin berdikari, merubah nasib sendiri

Dimana aku ditempatkan
Tak menjadi persoalan
Di situ adat dikendong
Di situ juga budaya dijunjung

Aku anak jantan, tak gentar cabaran
Ranjau dan duri dah aku redah
Laksana manau, seribu kali embat
Haram tak patah
Semua itu aku tak kisah
Asalkan kehidupan ku berubah

Pertolongan dia tiada batasan
Bak dunia tanpa sempadan
Ibarat air sungai mengalir tanpa henti
Tak mengira bantuan ... kanan... kiri

Jasa dia tidak terbilang
Dia bersama ku susah dan senang
Dia lah sebenar peneroka
Dialah perintis, dialah senior
Dia yang memulakan segalanya
Menentu sempadan 4 penjuru
Memecah kesunyian nyayian rimba
Ada dahan teguh tempat bergantung
Pohon yang rimbun tempat berteduh
Benih yang baik, jatuh ke laut kan jadi pulau jua

Dan aku
Kan perjuangkan hingga selesai
Bakti di semai, bukti dituai
Kata keramat itu sudah terungkai
Tanpa dia, entah aku di mana
Dia lah FELDA, hanya 1 di dunia

Terima kasih pada rang tua
Terima kasih kepada semua
Yang memberi restu, yang menentu arah tuju
Doa kalian tiada hijab
Kehidupan selesa telah tersingkap

Aku bersujud pada yang Esa
Aku bersyukur pada peneroka
Dari tak punya apa-apa, kini mempunyai segala
Ingin ku ucapkan sepatah kata
Selamat hari peneroka
Buat aku, dia dan insan-insan yang bergelar peneroka

(nukilan : Pelangi Petang)
utusan malaysia-khamis, 07072011 bersamaan 5 Syaaban 1432


AYUH  TERUSKAN PERJUANGAN BANGSA


"keringat arwah ayahnda dan lelah bonda
membanting tulang dan keringat
tiada dapat dibalas
dengan harta dunia

kerna mereka 'peneroka'
membelah tradisi
menjangkau perjuangan bangsa nusa

demi
kepentingan zuriat dan keturunan tercinta
agar
tidak melara di pertiwi tercinta

ayuh generasi baru
teruskan kecintaanmu
kepada perjuangan
bangsa mu

tapi
langkah silat jihad mu
menular era globalisasi
tanpa
mencalarkan jati diri
Tauhid 
dan 
Akhlak Peribadi

bukan
di perbatasan FELDA
tapi
di globe dunia"

(Nukilan ku Sempena Tahun Baru 2012)

PENINGKATAN KES PENCERAIAN PASANGAN ISLAM

 BERITA di dada akhbar Utusan Malaysia Jumaat 30.11.2011/5 Safar 1433 berkenaan perkara di atas amat meruntun nulari insan saya.

Dilaporkan mereka ini adalah pasangan yang baru melepasi jangka masa 5 tahun hidup berumahtangga.  Suatu tempoh yang pendek.  Ia umpama baru dapat kunci rumah baru tapi CF belum nampak bayang lagi.

Berdasar pengalaman sendiri yang telah melalui saat tempoh tersebut amat memahami akan cabaran gelombang berumahtangga.  Khususnya bagi wanita yang berkerjaya dan memiliki pendidikan tinggi.  Terkadang emosi dan ego selaku seorang wanita mengawal akal fikiran.

Namun saya amat bersyukur,  kerana memiliki seorang suami yang telah ditakdirkan hasil munajad solat istiqarah, solat hajat dan istiqomah diri.  Ini tambah diperteguhkan sifat kesabaran diri menerusi sedikit ilmu pengetahuan Munakahad yang telah saya pelajari semasa belajar di Sekolah Agama Rakyat dahulu semasa di Darjah 4 hingga Sekolah Khas (saya orang Johor).

Apa kaitannya dengan pemasalahan rumah tangga?

Ya,  faktor-faktor di atas membuatkan saya cepat kembali kepada fitrah ikatan suatu pernikahan yang diibaratkan suatu pengurusan sebuah masjid.   Malah perumpamaan goncangnya tiang aras apabila isteri menuntut cerai amat mengerunkan diri.   

Bukan saya sempurna.   Saya juga pernah melalui pemasalah rumahtangga yang hampir merobohkan tiang masjid yang dibina.  

Bagaimana saya menangani amarah bagi mengelakkan ketegangan dalam perhubungan dengan suami?

Di sini saya ingin berkongsi cara yang menjadi amalan sejak 3 tahun (usia perkahwinan saya baru hendak menjangkau 14 tahun) kebelakangan ini dalam menguruskan rumahtangga;

1.   Sentiasa memperbaiki diri.   Falsafah saya,  lakukan sesempurna mungkin bagi menjaga maruah keturunan keluarga.  Khususnya nama ayahnda dan bonda.   Mereka sentiasa mendoakan kebahgiaan anak-anaknya.   Maka cuba sebaik mungkin menghindari menconteng arang ke muka mereka.   Mengapa perlu kita mencemarkan restu mereka?  Oleh kerana restu mereka adalah keredhaanNya jua.

2.  Sentiasa mencari alternatif yang menghiburkan diri.  Prinsip saya "if somebody hurt you, ignore them".  Maka, saya perlu cepat-cepat menyejukkan diri sekiranya amarah dan kebencian mulai menguasai persekitaran mahligai perkahwinan kami.   Caranya,  membaca sebanyak mungkin Surah Yassin sehingga terasa tenang di kalbu.   Dalam tempoh tersebut saya kurangkan berkata-kata.  Tujuannya, hendak elakkan mengeluarkan kata-kata yang boleh melukakan hati suami.   Oleh kerana saya jenis orang yang berterus-terang.   Emak sering berkata, saya kalau bercakap memang pedas dan berbisa.  Maka saya menggunakan surat layang atau sms.  Syukurlah, biasanya tidak lama tidak sampai 3 hari hubungan pulih kembali.   Oleh kerana saya pasti akan merindui kucupan suami di dahi pada awal pagi sebelum pergi kerja dan amalan bersalaman dengan suami sebelum keluar rumah. (biasanya kalau merajuk saya akan keluar awal tanpa menyiapkan sarapan pagi pun... teruk kan...) Kemudian ditambah pula dengan imbauan pesanan ayahnda dan bonda pada malam pertama selaku raja sehari menjadi azimat untuk terus melayari bahtera rumahtangga berlandaskan sunnah Rasulullah.  Semuanya membuatkan saya insaf.   Yalah.... langit pun murka kepada kita, jika kita derhaka kepada suami.

3.  Motivasi diri sendiri.   Di sini, saya akan membuat pelbagai pengubahsuaian akan tip-tip motivasi hubungan suami-isteri yang saya baca menerusi internet.   Nak beli buku melibatkan kos.   Bukan itu sahaja,  sirah Rasulullah s.a.w. dan para isterinya juga menguatkan semangat diri untuk terus berjihat membina tembok kasih sayang dengan rahmatNya.   

4.  Ukur baju di badan sendiri.   Dalam konteks ini, saya setiap hari sebelum tidur merangka tindakan susulan yang  perlu diperbaiki  untuk kehidupan hari esok dengan keizinanNya.   Kehidupan kesederhanaan adalah pilihan saya sendiri.   Pokoknya, fokus kepada kesejahteraan fizikal, emosi, kerohanian dan intelek yang sesuai dengan perkembangan serta kemampuan semasa.

5.  Insafi diri yang serba kekurangan.   Suami adalah pelengkap diri.  Pasangan kita adalah pakaian dan cermin keperibadian kita.    Jadi, usah merunggut lebih-lebih.   Selalulah bercakap dengan cermin diri kita sekiranya kita tidak puashati dengan pasangan.   Lepas itu tanyalah kalbu dan iman.   Di sini, solatlah hajat, banyak-banyak berdoa untuk memperelokkan perhubungan.   Hidari perkara remeh-temeh menjadi punca pergolakan rumah tangga.  Amalkan sifat bertolak-ansur dan saling faham memahami di atas latar belakang asuhan keluarga yang berbeza antara kita dan suami.  Sebaliknya, jelaskan dalam minda akan kelebihan dan keistemewaan pasangan kita. 

6.  Tunaikah tanggungjawab isteri adalah ibadah.   Maka, ujian dan cabaran adalah kifarah akan dosa-dosa kecil kita.   Segala pemasalah yang datang telah ditentukan bahawa untuk meningkatkan ketaqwaan kepadaNya.   Justeru itu, berserahlah kepada Allah.   

Selanjutnya, marilah kita bersama-sama berusaha meningkatkan ikatan kasih-sayang rumah tangga kita.  Sedarkah anda rumah tangga yang kukuh, berupaya menjana generasi masa depan yang berketrampilan dan memiliki jati diri?   Di mana apabila keluarga sejahtera, anak-anak akan membesar dengan kasih sayang serta bimbingan juga berilmu, maka ia menjamin masa depan negara.  





Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...