Ahad, 1 Januari 2012

PENINGKATAN KES PENCERAIAN PASANGAN ISLAM

 BERITA di dada akhbar Utusan Malaysia Jumaat 30.11.2011/5 Safar 1433 berkenaan perkara di atas amat meruntun nulari insan saya.

Dilaporkan mereka ini adalah pasangan yang baru melepasi jangka masa 5 tahun hidup berumahtangga.  Suatu tempoh yang pendek.  Ia umpama baru dapat kunci rumah baru tapi CF belum nampak bayang lagi.

Berdasar pengalaman sendiri yang telah melalui saat tempoh tersebut amat memahami akan cabaran gelombang berumahtangga.  Khususnya bagi wanita yang berkerjaya dan memiliki pendidikan tinggi.  Terkadang emosi dan ego selaku seorang wanita mengawal akal fikiran.

Namun saya amat bersyukur,  kerana memiliki seorang suami yang telah ditakdirkan hasil munajad solat istiqarah, solat hajat dan istiqomah diri.  Ini tambah diperteguhkan sifat kesabaran diri menerusi sedikit ilmu pengetahuan Munakahad yang telah saya pelajari semasa belajar di Sekolah Agama Rakyat dahulu semasa di Darjah 4 hingga Sekolah Khas (saya orang Johor).

Apa kaitannya dengan pemasalahan rumah tangga?

Ya,  faktor-faktor di atas membuatkan saya cepat kembali kepada fitrah ikatan suatu pernikahan yang diibaratkan suatu pengurusan sebuah masjid.   Malah perumpamaan goncangnya tiang aras apabila isteri menuntut cerai amat mengerunkan diri.   

Bukan saya sempurna.   Saya juga pernah melalui pemasalah rumahtangga yang hampir merobohkan tiang masjid yang dibina.  

Bagaimana saya menangani amarah bagi mengelakkan ketegangan dalam perhubungan dengan suami?

Di sini saya ingin berkongsi cara yang menjadi amalan sejak 3 tahun (usia perkahwinan saya baru hendak menjangkau 14 tahun) kebelakangan ini dalam menguruskan rumahtangga;

1.   Sentiasa memperbaiki diri.   Falsafah saya,  lakukan sesempurna mungkin bagi menjaga maruah keturunan keluarga.  Khususnya nama ayahnda dan bonda.   Mereka sentiasa mendoakan kebahgiaan anak-anaknya.   Maka cuba sebaik mungkin menghindari menconteng arang ke muka mereka.   Mengapa perlu kita mencemarkan restu mereka?  Oleh kerana restu mereka adalah keredhaanNya jua.

2.  Sentiasa mencari alternatif yang menghiburkan diri.  Prinsip saya "if somebody hurt you, ignore them".  Maka, saya perlu cepat-cepat menyejukkan diri sekiranya amarah dan kebencian mulai menguasai persekitaran mahligai perkahwinan kami.   Caranya,  membaca sebanyak mungkin Surah Yassin sehingga terasa tenang di kalbu.   Dalam tempoh tersebut saya kurangkan berkata-kata.  Tujuannya, hendak elakkan mengeluarkan kata-kata yang boleh melukakan hati suami.   Oleh kerana saya jenis orang yang berterus-terang.   Emak sering berkata, saya kalau bercakap memang pedas dan berbisa.  Maka saya menggunakan surat layang atau sms.  Syukurlah, biasanya tidak lama tidak sampai 3 hari hubungan pulih kembali.   Oleh kerana saya pasti akan merindui kucupan suami di dahi pada awal pagi sebelum pergi kerja dan amalan bersalaman dengan suami sebelum keluar rumah. (biasanya kalau merajuk saya akan keluar awal tanpa menyiapkan sarapan pagi pun... teruk kan...) Kemudian ditambah pula dengan imbauan pesanan ayahnda dan bonda pada malam pertama selaku raja sehari menjadi azimat untuk terus melayari bahtera rumahtangga berlandaskan sunnah Rasulullah.  Semuanya membuatkan saya insaf.   Yalah.... langit pun murka kepada kita, jika kita derhaka kepada suami.

3.  Motivasi diri sendiri.   Di sini, saya akan membuat pelbagai pengubahsuaian akan tip-tip motivasi hubungan suami-isteri yang saya baca menerusi internet.   Nak beli buku melibatkan kos.   Bukan itu sahaja,  sirah Rasulullah s.a.w. dan para isterinya juga menguatkan semangat diri untuk terus berjihat membina tembok kasih sayang dengan rahmatNya.   

4.  Ukur baju di badan sendiri.   Dalam konteks ini, saya setiap hari sebelum tidur merangka tindakan susulan yang  perlu diperbaiki  untuk kehidupan hari esok dengan keizinanNya.   Kehidupan kesederhanaan adalah pilihan saya sendiri.   Pokoknya, fokus kepada kesejahteraan fizikal, emosi, kerohanian dan intelek yang sesuai dengan perkembangan serta kemampuan semasa.

5.  Insafi diri yang serba kekurangan.   Suami adalah pelengkap diri.  Pasangan kita adalah pakaian dan cermin keperibadian kita.    Jadi, usah merunggut lebih-lebih.   Selalulah bercakap dengan cermin diri kita sekiranya kita tidak puashati dengan pasangan.   Lepas itu tanyalah kalbu dan iman.   Di sini, solatlah hajat, banyak-banyak berdoa untuk memperelokkan perhubungan.   Hidari perkara remeh-temeh menjadi punca pergolakan rumah tangga.  Amalkan sifat bertolak-ansur dan saling faham memahami di atas latar belakang asuhan keluarga yang berbeza antara kita dan suami.  Sebaliknya, jelaskan dalam minda akan kelebihan dan keistemewaan pasangan kita. 

6.  Tunaikah tanggungjawab isteri adalah ibadah.   Maka, ujian dan cabaran adalah kifarah akan dosa-dosa kecil kita.   Segala pemasalah yang datang telah ditentukan bahawa untuk meningkatkan ketaqwaan kepadaNya.   Justeru itu, berserahlah kepada Allah.   

Selanjutnya, marilah kita bersama-sama berusaha meningkatkan ikatan kasih-sayang rumah tangga kita.  Sedarkah anda rumah tangga yang kukuh, berupaya menjana generasi masa depan yang berketrampilan dan memiliki jati diri?   Di mana apabila keluarga sejahtera, anak-anak akan membesar dengan kasih sayang serta bimbingan juga berilmu, maka ia menjamin masa depan negara.  





Tiada ulasan:

Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...