Ahad, 28 Julai 2013

SEMUANYA BERMULA DARI JUADAH BERBUKA DAN BERSAHUR YANG SEDERHANA

"Budak-budak kat rumah tu kalau tak berlauk ayam, merunggut panjang.  Kita yang memasak nie naik muak.   Harga ayam bukan mudah.  Entahlah budak-budak sekarang ni. "  Keluh  Ibu A..
"Anak saya tak kisah,  yang penting masakan mesti panas.   Masak ringkas-ringkas pun tak ape.  Nasi goreng laju aje."  Tambah Si Ibu B.
"Salah kau orang jugak.   Sapa ajar anak-anak makan benda segera.  Ayam goreng orang putih yang menggemukkan.  Cuba kalau dari dulu didedahkan juadah kita orang Melayu tentu tak menyusahkan poket kau orang jugak.   Contohnya lempeng pisang di campur dengan susu tepung; nasi kerabu; tempe goreng; air bandung; masak lemak labu dan lain-lain.  Berkhasiat.  Murah pun murah.  Masak pun cepat dan senang,"  Sampuk Nenek C yang duduk di depan kami.
"Anak akak macam mana?"  Sekoyong-koyong 5 pasang mata menumpu kepada saya.
"Peringkat  minggu pertama dan kedua kami berbuka ala kadar aje.  Nasi dengan 1 jenis lauk, 1 jenis sayur dan sejenis kuih kegemaran anak-anak.  Ikut giliran 3 beradik tu lah.  Bersahur sekadar nasi goreng ke .  Masuk minggu ke tiga nie lagi ringkas air Horlick, roti dan cereal.   Tapi kami sekeluarga ambil suplement."  Ujar saya ikhlas. 
"Ehh... kesian budak-budak tengah membesar disekat kehendaknya.  Biarlah dia makan yang berat-berat"  Nenek C menyatakan kurang senangnya dengan perkongsian amalan ahli keluarga saya.
Yang lain hanya tersenyum sinis.   Saya juga tersenyum penuh pengertian bahawa misi dan wawasan keibuan kami ada perbezaan.  Baik latar zaman, pendidikan dan pengalaman hidup dalam mengharungi kehidupan fana ini.

Di sini saya mahu berkongsikan falsafah kehidupan.   Hidup sederhana mengikut Sunnah dan Amalkan Ibadah Demi Kesejahteraan Ummah.   Ilmu yang telah diperolehi diamalkan dan dikongsikan, semoga manfaatnya berpanjangan.  Insya-Allah.

Bagaimana saya mendapat ilham membina misi dan wawasan keibuan tersebut di atas?
Hal ini adalah hasil pemikiran yang matang sejak 2007 ketika melakukan Umrah.   Hanya tahun ini saya dapat melaksanakan sedikit demi sedikit dalam kehidupan seharian.   

Kesedaran ini tambah jelas apabila menginsafi akan kebangkitan masyarakat Aceh selepas musibah Tsunami.    Ya... saya berpeluang terlibat Misi Bantuan Kemanusiaan pada minggu ke-2 selepas kejadian  hingga menjelang sambutan Hari Raya Aidil Adha 2004.   Penawar kesedihan dan kesengsaraan untuk bangkit adalah kesederhanaan.   Nikmat kesyukuran masih bernyawa membangunkan kudrat bagi terus beribadah dan melangsungkan kehidupan begitu sederhana sekali.

Oleh itu saya mengambil langkah awal mengasuh 2 orang putera dan seorang puteri saya akan kehidupan yang sederhana berlandaskan asas keperluan seorang insan berdasarkan keupayaan ekonomi dan tuntutan Ad-din.   

Mengapa?   Apabila suatu hari nanti mereka merantau dan dihimpit kepayahan, jiwa mereka  akan kental untuk berikhtiar berdasarkan sumber asas yang dimiliki.   Sentiasa bersyukur selagi mampu menghidu udara.  

Cerita kepayahan zaman remaja Allahyarham Datuk mereka (Allahyarham ayahnda saya Haji Khaironi) pada zaman penjajahan Jepun dan kecekalan anak-anak yatim piatu mangsa Tsunami sering dikongsikan dengan anak-anak.  Agar ia menjadi inspirasi meniti kehidupan  yang penuh cabaran.   

Pada masa yang sama,  matlamat saya agar mereka mensyukuri apa sahaja yang disajikan oleh ayahnda mereka tanpa banyak bicara.

Namun demikian saya sering menekankan kepentingan ilmu agama dan pendidikan adalah harta yang kekal.  Budi bahasa adalah pakaian yang paling indah.  Kebersihan diri dan kesucian keikhlasan hati adalah tiket asas memaju ketamadunan yang hakiki.

Semuanya bermula dari juadah berbuka dan bersahur yang sederhana.  






Tiada ulasan:

Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...