Selasa, 5 Mei 2020

9 Kecerdasan dalam diri kita dan anak-anak

oleh
Nooraini Khaironi

Sedarkah kita bahawa Allah menjadikan kita seorang insan yang sempurna?

Sumber: Mira Halim Thursday, April 18, 2013 

Subhanallah, penemuan Howard Gardner menyatakan bahawa setiap individu memiliki 9 kecerdasan iaitu logik matematik, visual ruang, spiritual, muzik, interpersonal, intrapersonal, naturalis, kinestatik dan verbal lingustik.  Ia dikenali sebagai kecerdasan pelbagai.  Cuma tahap domiman sesuatu kecerdasan itu berbeza antara individu.  Itu ada anak gemar muzik sebab dia ada kecerdasan muzik, ada anak kita petah berkata, sering menjadi juara pidato kebarangkalian dia memiliki kecerdasan verbal lingustik.

Sistem penilaian anak-anak kita di sekolah kini telah berasaskan 9 kecerdasan ini.  Misalnya dalam aktiviti ko-kurikulum di sekolah anak-anak kita diasah potensi diri dari segi kebolehan anak-anak kita.  Itu sebabnya ada pelbagai kelab, persatuan dan aktiviti di sekolah.

Tips untuk mengembangkan kerjaya juga boleh berpandukan 9 kecerdasan ini.  Cuba lihat keputusan ujian psaikometrik anak anda.   Ia amat membantu anda merangka kerjaya masa depan anak-anak anda.  Keputusan peperiksaan jatuh nombor dua.  Oleh kerana akademik anak boleh digilap menerusi proses pembelajaran hingga ke peringkat tinggi kelak.  

Yang penting sekarang kita renung bakat anak-anak kita.  Ada anak yang cemerlang dalam sukan, tapi sederhana dalam akademik.  Ada hingga mampu mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.  Segelintir ibu ayah selalu memarahi anak itu kerana banyak buang masa bermain.  Lantas menyekat penglibatan anak tersebut.   Tindakan ini memberi tekanan emosi kepada anak remaja.  Menyebabkan wujudnya keretakan hubungan anak dengan orang tuanya.  

Keadaan ini amat membahayakan ikatan perhubugan ibu ayah dan anak sepanjang hayat.  Oleh kerana dikhuatiri mereka hilang kepercayaan dan hormat kepada ibu ayah hingga menyukarkan ikatan kasih sayang sebagai ahli keluarga.  Di mana akhirnya anak remaja kita tidak sedia lagi berkongsi hal ehwal kehidupannya dengan ibu ayah.  Sebaliknya memilih rakan sebagai teman yang lebih dipercayai.

Sekiranya cabaran ini berlaku kepada diri anda.
Bagaimana untuk menawan kembali hati anak kita ini?

Di sini saya kongsikan tindakan positif yang perlu diambil.
1.  Muhasabah diri.  Munajat kepada Allah untuk memberi panduan dan pedoman.
2.  Akui dalam diri bahawa anda menghadapi masalah mengurus emosi ketika bersama anak.
3.  Ikuti kursus pengurusan emosi diri dan keibubapaan.
4.  Ilmu yang diperolehi daripada kursus kita amalkan dalam keluarga.
5.  Sentiasa berdoa dan membaca Al Quran.
6.  Ubah cara bertutur dengan anak.  Ucapkan yang baik-baik.
7.  Yakin kepada pemikiran dan getik hati bahawa anak kita sebaik-baik Ciptaan Ilahi.
8.  Sentiasa ucapkan Syukur kepada kelebihan anak.  
Contoh,"Syukur Ya Allah Alif taat beribadah.  
Sungguhpun dia tak pandai.  
Tapi subjek seni lukis dia selalu dapat A.
Setiap anak Allah dah tentukan rezekinya.
Insyaallah Alif akan jadi anak yang berjaya
dalam kerjaya dan akhirat."
9.  Sentiasa bercakap dengan diri bahawa Allah Maha Mengetahui.

Selaku ibu ayah,  perlu bijaksana menguruskan emosi dan perasaan marah kepada anak-anak.  Khasnya apabila anak-anak tidak mampu memberikan kejayaan akademik seperti mana yang anda impikan.  Kita perlu bijaksana.  Berpijaklah dibumi nyata.  Kejayaan kerjaya perlu lalui proses yang panjang dan getir.  

Perlu kita hindari kehidupan nyata bukan mudah.  
Kepayahan dan keperitan adalah universiti kejayaan tokoh ekonomi hari ini.
Perasaan marah kita perlu diubati.
Kata-kata kita perlu lebih berbentuk motivasi.  Bukan memaki.
Pemikiran kita bukan yang negatif kepada anak yang sedang membina kehidupan sendiri.

Itu sebabnya pada kaunselor keluarga berpesan jadikan anak kawan.
Kenali anak dan beri sokongan minat dan potensi dirinya.
Elak membandingkan antara anak kerana setiap anak ada keistimewaannya tersendiri.  Lihat 5 jari di tangan kita.  Tidak sama panjang.  Kegunaannya juga berbeza.  Tangan kanan untuk makan.  Tangan kira untuk beristinjak.  Tetapi kita perlukan keduanya bagi menyempurnakan tanggungjawab dalam kehidupan. 

Sungguhpun demikian ketika mengangkat takbir semasa solat kedudukan keduanya sama. Itulah mulianya insan pada mata Allah Maha Pencipta. 

Jadi siapa kita untuk melebalkan anak-anak syurgawi ini.
Ajari dan bimbinglah mereka menjadi insan berbudi dan berbakti.  
Kepandaian anak-anak adalah suatu rezeki.




Jumaat, 1 Mei 2020

MUHASABAH DIRI BINA SOLUSI.


Muhasabah diri. 
Bingkas dari syok sendiri.
Berlari menjejak peluang optimum potensi diri.

FB Nooraini Khaironi,12 Oktober 2017-11.28pm.

Kita adalah makhluk.  Berperanan selaku Khalifah Allah.  Hamba kepada Maha Pencipta iaitu Allah Azawajalla.  Kita insan yang tidak sempurna.  Oleh yang demikian kita disarankan agar melakukan  muhasabah diri.  Matlamatnya untuk sentiasa meningkatkan nilai taqwa pada kaca mata Ilahi.

Apakah itu muhasabah diri?

Muhasabah diri ini adalah menilai diri sendiri.   Lalu kita  sedaya upaya melakukan perubahan  dalam proses memperbaiki diri dalam hubungan kita dengan Allah.  Pada masa yang sama memurnikan hubungan sesama makhluk ciptaan-Nya.  Ia meliputi urusan seharian  hubungan  antara manusia dengan manusia, haiwan bahkan alam semesta.  Tidak terkecuali objek yang tidak bernyawa.  Seperti barang keperluan, harta awam, air, udara, seluruh cekrawala dan isi bumi.

Ia merangkumi ibadah fardhu ain dan fardhu kifayah.

Menerusi proses penilaian diri setiap hujung malam membangunkan rasa syukur dalam diri.

Pada waktu yang sama kita berupaya melatih membina  upaya roh ihsan di jiwa sanubari.   Di mana roh ihsan ini menghidupkan deria sensori bahawa segala perlakuan kita diperhatikan oleh Allah.  Dan apa sahaja yang kita lakukan mesti mematuhi perintah-Nya dan menjauhi dan meninggalkan segala larangan-Nya.  Segalanya demi menuntut keredaan Allah Yang Maha Esa.   

Oleh itu solok Iman dan akhlak Islam menjadi timbang tara untuk menjuruskan setiap perbuatan kita  bernawaitu sebagai ibadah kepada Al Khaliq Pencipta kita. 

Kenapa perlu muhasabah diri?

Kita perlu melakukan muhasabah diri  kerana mahu menjadikan diri kita lebih baik daripada semalam.  Dengan cara itu kita akan melalui satu proses kejayaan dalam kehidupan.

Pada masa yang sama kita  berupaya melakukan tindakan yang terbaik yang boleh kita lakukan untuk  meningkatkan kualiti diri dari hari ke hari.

Oleh yang demikian, kita kena sentiasa positif dan berusaha untuk berubah bagi mencapai kehidupan yang lebih tenang fikiran, sejahtera emosi dan memakmurkan kesyukuran dalam jiwa nurani.

Bagaimana cara untuk melakukan muhasabah diri?

Ia mudah untuk dilaksanakan.   Yakin anda boleh melakukannya.

Yang penting kita ada kemahuan untuk melaksanakan mengikut kesesuaian masa dan keselesaan diri sendiri. Masa yang terbaik adalah selesai solat.   Kita masih berwuduk.  Duduk bertafakur tenang dan berniat untuk melakukan muhasabah diri kerana keredaan Allah. Mulakan dengan beristigfar.  Mengucap dua kalimah syahadah.  Diikuti dengan selawat.

Disusuli dengan  kita bertanya kepada diri sendiri tentang apa perbuatan yang kita berasa tenang dan menilai apakah setiap perlakuan tersebut sesuai dengan perintah-perintah Allah Taala. 

Selepas itu dengan penuh rasa rendah diri,  kita mohon kemaafan kepada Tuhan.  Dengan perasaan rendah diri yang sama kita memaafkan kepada semua insan yang telah menyakiti hati dan menjadi asbab kecelaruan fikiran dan tekanan dalam hidup kita.  Sebaliknya kita doakan mereka agar hidup sejahtera dan bahagia.

Kemudian berdoa kepada Allah untuk memberi petunjuk yang benar.  

Langkah selanjutnya, kita muhasabah diri bagi merangka plan tindakan strategi untuk memulakan aktiviti esok hari.

Pada peringkat ini kita perlu bertanya tiga soalan ini kepada hati kita berlandaskan Iman.  Pertamanya, apakah perbuatan yang diinginkan itu mampu  dilakukan atau tidak.  Kedua, apakah perbuatan itu sesuai syariat.  Ketiga, apakah perbuatan itu akan dilakukan ikhlas kerana Allah.

Rumusan daripada penilaian diri ini, kita boleh tulis atau gambarkan dalam bentuk rajah yang jelas untuk panduan.  Tindakan ini dikenali sebagai vision board  iaitu impian yang akan kita capai.

Kita perlu istiqomah mempraktikkan amalan muhasabah diri setiap hari.

Hari demi hari kita perkemaskan ibadah solat lima waktu.   Disusuli juga  antaranya diikuti dengan  amalan ibadah sunat  seperti solat sunat Dhuha, zikir kubra Surah Al Matsurat dan puasa sunat. 

Apakah faedah yang kita perolehi setelah melakukan muhasabah diri?

Faedah muhasabah diri, membuatkan kita bingkas dari syok sendiri.  

Setiap kali melakukan proses muhasabah diri, selaku seorang muslim kita akan mengetahui akan kelemahan serta akan aib  diri sendiri, baik dalam hal amalan ibadah kita mahupun aktiviti dalam urusan duniawi. 

Lantas kita tahu apa yang harus diperbaiki pada keesokkan hari.   Agar hari esok lebih baik daripada hari ini.

Seperkara lagi, seseorang yang sering muhasabah diri akan gerun melakukan kemaksiatan dan keburukan.  Oleh kerana dia sedar setiap saat dirinya sentiasa diawasi oleh Allah Subhanahuwatallah.

Malah jiwa rohani kalbunya sering menghidupkan kesedaran bahawa untuk  merasa tenang dan damai dalam hidup hanya dengan melakukan kebaikan dan amal soleh demi mendekatkan diri kepada Ilahi.  Insya Allah dia akan berwaspada dengan bisikan hawa nafsu yang membinasakan.

Sesungguhnya muhasabah diri adalah aplikasi memperkasakan potensi diri untuk membina kejayaan yang total dan optimum  di dunia dan akhirat.  Oleh kerana ia didasari oleh  Islam, Iman dan lkhsan.

Nikmat muhasabah diri.

Subhanallah.

Amalan muhasabah diri ini menghidupkan sifat kehambaan kita kepada Allah Taala,   Di sinilah punca nikmat beribadah kepada Pencipta kita.    Maka berputiklah rasa kasih dan rindu kepada Baginda Nabi Muhammad SAW, kekasih Allah.   Terbit pula jentikan kalbu rasa kesyukuran yang mendalam kepada segala nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kita. 

Rentetan itu, kita akan berusaha  keras menghindari diri dari melakukan perbuatan yang akan menghanguskan pahala kita.    Lantas dengan sedar kita akan berfikir bercakap dan berbuat  yang baik-baik.   

Sesungguhnya kemahiran melaksanakan amalan muhasabah diri satu demansi membina solusi diri untuk membina kejayaan dalam urusan duniawi dan ukhrawi.






 

Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...