Selasa, 11 Januari 2011

KENANGAN

Imbauan deruan kenangan
yang manis
yang getir
yang menyentuh kalbu pilu
yang sering menyentap asa

Ya kenangan
senyum muram
tawa duka
tangis sendu
bungkam membisu

Ya
kenangan
indah
samar
kelam kelabu

itulah kehidupan
pentas dunia indukmu
sering berganti
tidak kekal
ia berubah
ia berputar
ia berganti

semua tidak abadi


Ahad, 9 Januari 2011

TAHUN 2011 datang dengan azam baru.

1/1/11 adalah tarikh keramat.  Ia juga menjadi tanda aras pencapaian diri ini pada 2010.  Bagaimana dengan anda?  

Aku terus memacu azam bagi meningkatkan kecermalangan sumbangan kepada keluarga tercinta dan masyarakat umum.   Namun aku lebih memberi tumpuan kepada ahli keluarga.  Oleh itu aku telah mengambil keputusan meletakkan jawatan di Total Genius Sdn Bhd pada 31/12/2010 lalu.  

Walaupun berat untuk meninggalkan kerjaya yang amat secucuk dengan kelayakan yang ku miliki, namun demi zuriat yang Allah telah amanatkan kepadaku lebih diutamakan.  Merekalah yang bakal menentukan kualiti keturunanku pada masa depan.  

Hal ini amat menyentuh dalam kalbu, kerana amnya usia umat Muhamad s.a.w. hingga 60 tahun.  Jikalau dihitung Insya-Allah, aku mempunyai tempoh hanya 15 tahun lagi bersama dengan yang tersayang.  Aku sedar sebelum ini masaku banyak diluangkan kepada kerjaya dan masyarakat.  

Detik kesedaran ini, mulai berputik setelah pemergian arwah abah.  Sesungguhnya masa yang diperuntukan bersama aku dan ahli keluarga yang lain amat bermakna.   Banyak kenangan yang kami cipta bersama.  Tetapi bagaimana dengan kehadiran diriku kepada anak-anak? 

Percutian keluarga ke Medan

Maka kini, aku dapat melakukan bersama-sama dengan anak-anak.  

Sungguhpun demikian aku juga akan tetap menyumbang pengalaman dan pengetahuan yang ada secara freelance dengan bebas kerana segalanya aku sendiri akan menentukan masa dan bidang tugas yang mahu dilakukan.

Sabtu, 9 Oktober 2010

SYAWAL 1431H/2010 PENGALAMAN PERTAMA BERAYA TANPA ABAH

Syawal 1431H meninggalkan kenangan yang syahdu.  Kami sekeluarga beraya tanpa Abah.   Yea... Arwah telah meninggalkan kami buat selama-lamanya pada 5 Disember 2010, sehari sebelum Majlis Konvokesyen, Institut Pendidikan Perkembangan Awal Kanak-kanak,  6 Disember 2010.  Terasa kosong hidup ini tanpa arwah Abah.  Sungguhpun hilai tawa, senda gurau dan kegirangan terpancar pada wajah-wajah ceria, namun di dalam hati tetap menanar kesunyian dan rasa kehilangan seorang ayah.  



Kini, Syawal turut berlalu.  Meninggalkan kenangan abadi.

Isnin, 31 Mei 2010

TULIS apa sahaja, asalkan konsisten

      PADA 28 Mei 2010 hingga 30 Mei 2010 lalu saya telah menghadiri BENGKEL PENULISAN FIKSYEN anjuran Akademik Penulis Sdn Bhd.  Pembimbing bengkel tersebut adalah Cik Salina Ibrahim, seorang penulis novel Best Seller  yang produktif dewasa ini.
      Saya teruja mendengar kesungguhan beliau meniti tangga dalam dunia penulisan.  Modul bengkel yang disediakan mudah diikuti dan difahami.  Oleh kerana ia disusun dengan begitu cara iaitu memotivasi, menunjuk cara dan do and don't dalam arena penulisan bagi memastikan manuskrip bakal penulis mendapat tempat dalam penilaian penerbit.
      Cabarannya sekarang, bila saya boleh menghasilkan sinopsis ->... selepas itu menulis manuskrip penulisan saya?
      Emm...saya perlu mendisiplinkan diri untuk menulis apa sahaja setiap hari.  Maka inilah langkah pertama saya.  Apa dia?  Untuk menulis sekurang-kurangnya 50 patah perkataan sehari dalam blog ini.
      Bak kata pepatah tegal bisa kerana biasa.  Tiada alasan.  Namun hasrat perlu disusuli dengan tindakan demi suatu perubahan yang bermakna.

Ahad, 16 Mei 2010

CERITA HARI GURU 2010


       Seperti biasa, jam 8.15 saya akan menjejakkan kaki ke laman Tadika Cahaya Ilmuan. Saya adalah guru sementara sahaja. Ini janji saya kepada Pengasas TADIKA ini, kerana komitmen kepada keluarga adalah keutamaan.
      "Selamat Hari Guru, Cikgu Nooraini", suara pekikan anak-anak murid menyambut kedatangan saya.
      "Tidak menyangka mereka sayang pada diri ini" bisik hati saya.
      "Cikgu Nooraini, saya ada bawa hadiah pen besar warna biru untuk cikgu," ujar Amir sambil memegang hujung baju kurung saya bertanah perang muda.
      "Yea ke.." saya membalas ringkas.
       Saya cepat-cepat bergegas menuju ke dalam kelas selepas bersalaman dengan Cikgu Yana, Pengetua dan Pengasas TADIKA. Oleh kerana sekejap lagi saya kena bertugas mengelolakan rutin pagi bagi pembacaan doa dan hafazan Surah Lazim.
       Alangkah terkejut... apabila saya melihat di atas meja tersusun indah dan kemas 8 hadiah. Terharu dengan penghargaan diluar jangka ini. Saya cepat-cepat mengawal emosi. Sebak. Melihatkan tanda penghargaan yang saya terima daripada kanak-kanak berusia 5 tahun.
       Selepas murid-murid masuk kelas, saya menemui Yana.
       "Yana, ada keluarkan notis pada ibu bapa ke yang kita nak adakan Sambutan Hari Guru hari ini?"
       "Tak ade pun, cuma ada beritahu mereka Jumaat ni Hari Guru, cikgu akan sediakan banyak hadiah untuk murid-murid cikgu yang masuk sukaneka yang disediakan. Itu pun waktu masa perbarisan balik pada tengahari Isnin." Jelas Yana
      "Kemudian semalam, dalam kereta masa hantar Amir ke TASKA, dia kata dah beli hadiah pen besar untuk Cikgu Yana dan Cikgu Nooraini. Tak sangka pulak betul-betul dia bawa hadiah tu pagi ini." sambungnya lagi.
       Kami sama-sama tersenyum. Kami rasa amat dihargai.

Ini merupakan pengalaman pertama mengajar pendidikan awal kanak-kanak, jadi sesungguhnya peristiwa 14 Mei 2010 ini amat bermakna dalam dairi hidup saya.

Akhir kata SELAMAT HARI GURU pada semua.




Sabtu, 27 Februari 2010

ooo...........WANITA


Umum sering menyatakan wanita yang bekerjaya sahaja yang menyumbang kepada pembangunan negara. Justeru suri rumah sepenuh masa pula dikategorikan sebagai bukan pekerja.


Walhal dewasa kini, ramai wanita yang berpelajaran tinggi sedia meninggalkan dunia pekerjaan semata-mata mahu memberi tumpuan kepada amanah Allah bagi mengasuh dan mendidik zuriatnya iaitu Khalifah Allah agar anaknya itu menjadi seorang insan yang muadib (beradab) dan ihsan (tawaduk kepada Allah).


Oleh kerana sudah fitrah wanita itu yang pengasih, penyayang, penyabar dan pembimbing ini adalah semulia-mulia pengasuh kepada seorang insan. ALLAHU AKBAR... maka itulah wanita diberi rahim untuk mengandungkan dan melahirkan Khalifah Allah.


Subhanallah...


Menyedari akan hakikat keunikan wanita yang istimewa ini maka golongan wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa perlu mengambil peluang keemasan ini untuk membentuk sahsiah diri anak-anak kita seperti mana sifat Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad SAW seperti siddek, amanah, tabligh dan fatonah.


Bukankah bayi yang baru lahir ibarat kain putih. Maka menjadi tanggungjawab kedua ibubapa yang mencorakkan kehidupan masa depan mereka. Sesungguhnya ilmu pembelajaran dan pengalaman seharian kanak-kanak di bawah 9 tahun akan mempengaruhi pembentukan emosi, perwatakan, pemikiran dan peradapan ketika membesar.


Pada peringkat ini mereka sedang belajar akan kehidupan. Maka selaku ibu atau pengasuh perlulah memiliki pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi bagi merasionalkan setiap insiden yang berlaku di depan mata anak-anak. Perlu diingat setiap ulasan dan penerangan itu perlu dikaitkan dengan ketauhidan kepada Allah.
Justeru itu para ibu perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kefahaman berkaitan dengan pengasuhan kanak-kanak. Ia boleh diperolehi menerusi pembacaan umum dan sesi pengalaman dengan para ibu mithali yang lain.




Selasa, 24 November 2009

ILMU KEPENGGUNAAN



Main dan kanak-kanak tidak boleh dipisahkan. Umpama lagu dan irama. Oleh kerana bagi kanak-kanak bermain adalah suatu keperluan. Ia satu bentuk pekerjaan bagi peringkat awal kanak-kanak. Khususnya peringkat di bawah 9 tahun. Di mana mereka belajar walaupun ketika bermain. Tertakluk kepada kita, selaku ibu bapa menentukan hendak menekankan pengisian ilmu yang hendak diterapkan pada ketika itu.

Di sini saya hendak berkongsi pengalaman di taman permainan Shah Alam. Maklumlah sekarang ini cuti sekolah. Maka petang tadi kami sekeluarga bersiar-siar di taman permainan. Biasalah bukan main gembiralah 3 orang anak saya. Mereka adalah Ahmad Syafiq (9 tahun), Ahmad Syahmi (7 tahun) dan Nur Sakinah (5 tahun).

Tiba-tiba Ahmad Syafiq memanggil saya lalu menunjukkan bahagian peralatan bagi 'wipe spider' telah rosak. Saya tergamam.

Anak saya menyatakan ini bahaya kepada kanak-kanak yang juga pengguna taman permaian ini.

Saya bersependapat dengannya. Lalu menasihatinya agar memaklumkan kepada kanak-kanak yang bermain di situ supaya tidak pergi ke bahagian yang rosak itu.

Selepas itu Ahmad Syafiq mengajak adiknya Ahmad Syahmi untuk bermain permainan lain yang lebih selamat.

Saya amat berbangga dengan kepekaan Ahmad Syafiq yang mementingkan keselamatan ketika bermain. Beliau telah tahu kepentingan keselamatan diri. Hal ini menunjukkan anak saya ini telah dapat membuat keputusan yang bijak selaku pengguna. Ini suatu pencapaian daripada proses bimbingan, pendidikan dan asuhan yang telah saya berikan selama ini.

Sesungguhnya usaha mengasuh, membimbing dan mendidik anak-anak hanya perlukan kepada perkembangan positif prosesnya. Ianya adalah jihad dan ibadah. Maka ianya memerlukan usaha yang berterusan. Tiada had limit.

























Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...