Sabtu, 9 Oktober 2010

SYAWAL 1431H/2010 PENGALAMAN PERTAMA BERAYA TANPA ABAH

Syawal 1431H meninggalkan kenangan yang syahdu.  Kami sekeluarga beraya tanpa Abah.   Yea... Arwah telah meninggalkan kami buat selama-lamanya pada 5 Disember 2010, sehari sebelum Majlis Konvokesyen, Institut Pendidikan Perkembangan Awal Kanak-kanak,  6 Disember 2010.  Terasa kosong hidup ini tanpa arwah Abah.  Sungguhpun hilai tawa, senda gurau dan kegirangan terpancar pada wajah-wajah ceria, namun di dalam hati tetap menanar kesunyian dan rasa kehilangan seorang ayah.  



Kini, Syawal turut berlalu.  Meninggalkan kenangan abadi.

Isnin, 31 Mei 2010

TULIS apa sahaja, asalkan konsisten

      PADA 28 Mei 2010 hingga 30 Mei 2010 lalu saya telah menghadiri BENGKEL PENULISAN FIKSYEN anjuran Akademik Penulis Sdn Bhd.  Pembimbing bengkel tersebut adalah Cik Salina Ibrahim, seorang penulis novel Best Seller  yang produktif dewasa ini.
      Saya teruja mendengar kesungguhan beliau meniti tangga dalam dunia penulisan.  Modul bengkel yang disediakan mudah diikuti dan difahami.  Oleh kerana ia disusun dengan begitu cara iaitu memotivasi, menunjuk cara dan do and don't dalam arena penulisan bagi memastikan manuskrip bakal penulis mendapat tempat dalam penilaian penerbit.
      Cabarannya sekarang, bila saya boleh menghasilkan sinopsis ->... selepas itu menulis manuskrip penulisan saya?
      Emm...saya perlu mendisiplinkan diri untuk menulis apa sahaja setiap hari.  Maka inilah langkah pertama saya.  Apa dia?  Untuk menulis sekurang-kurangnya 50 patah perkataan sehari dalam blog ini.
      Bak kata pepatah tegal bisa kerana biasa.  Tiada alasan.  Namun hasrat perlu disusuli dengan tindakan demi suatu perubahan yang bermakna.

Ahad, 16 Mei 2010

CERITA HARI GURU 2010


       Seperti biasa, jam 8.15 saya akan menjejakkan kaki ke laman Tadika Cahaya Ilmuan. Saya adalah guru sementara sahaja. Ini janji saya kepada Pengasas TADIKA ini, kerana komitmen kepada keluarga adalah keutamaan.
      "Selamat Hari Guru, Cikgu Nooraini", suara pekikan anak-anak murid menyambut kedatangan saya.
      "Tidak menyangka mereka sayang pada diri ini" bisik hati saya.
      "Cikgu Nooraini, saya ada bawa hadiah pen besar warna biru untuk cikgu," ujar Amir sambil memegang hujung baju kurung saya bertanah perang muda.
      "Yea ke.." saya membalas ringkas.
       Saya cepat-cepat bergegas menuju ke dalam kelas selepas bersalaman dengan Cikgu Yana, Pengetua dan Pengasas TADIKA. Oleh kerana sekejap lagi saya kena bertugas mengelolakan rutin pagi bagi pembacaan doa dan hafazan Surah Lazim.
       Alangkah terkejut... apabila saya melihat di atas meja tersusun indah dan kemas 8 hadiah. Terharu dengan penghargaan diluar jangka ini. Saya cepat-cepat mengawal emosi. Sebak. Melihatkan tanda penghargaan yang saya terima daripada kanak-kanak berusia 5 tahun.
       Selepas murid-murid masuk kelas, saya menemui Yana.
       "Yana, ada keluarkan notis pada ibu bapa ke yang kita nak adakan Sambutan Hari Guru hari ini?"
       "Tak ade pun, cuma ada beritahu mereka Jumaat ni Hari Guru, cikgu akan sediakan banyak hadiah untuk murid-murid cikgu yang masuk sukaneka yang disediakan. Itu pun waktu masa perbarisan balik pada tengahari Isnin." Jelas Yana
      "Kemudian semalam, dalam kereta masa hantar Amir ke TASKA, dia kata dah beli hadiah pen besar untuk Cikgu Yana dan Cikgu Nooraini. Tak sangka pulak betul-betul dia bawa hadiah tu pagi ini." sambungnya lagi.
       Kami sama-sama tersenyum. Kami rasa amat dihargai.

Ini merupakan pengalaman pertama mengajar pendidikan awal kanak-kanak, jadi sesungguhnya peristiwa 14 Mei 2010 ini amat bermakna dalam dairi hidup saya.

Akhir kata SELAMAT HARI GURU pada semua.




Sabtu, 27 Februari 2010

ooo...........WANITA


Umum sering menyatakan wanita yang bekerjaya sahaja yang menyumbang kepada pembangunan negara. Justeru suri rumah sepenuh masa pula dikategorikan sebagai bukan pekerja.


Walhal dewasa kini, ramai wanita yang berpelajaran tinggi sedia meninggalkan dunia pekerjaan semata-mata mahu memberi tumpuan kepada amanah Allah bagi mengasuh dan mendidik zuriatnya iaitu Khalifah Allah agar anaknya itu menjadi seorang insan yang muadib (beradab) dan ihsan (tawaduk kepada Allah).


Oleh kerana sudah fitrah wanita itu yang pengasih, penyayang, penyabar dan pembimbing ini adalah semulia-mulia pengasuh kepada seorang insan. ALLAHU AKBAR... maka itulah wanita diberi rahim untuk mengandungkan dan melahirkan Khalifah Allah.


Subhanallah...


Menyedari akan hakikat keunikan wanita yang istimewa ini maka golongan wanita yang menjadi suri rumah sepenuh masa perlu mengambil peluang keemasan ini untuk membentuk sahsiah diri anak-anak kita seperti mana sifat Rasul Junjungan kita Nabi Muhammad SAW seperti siddek, amanah, tabligh dan fatonah.


Bukankah bayi yang baru lahir ibarat kain putih. Maka menjadi tanggungjawab kedua ibubapa yang mencorakkan kehidupan masa depan mereka. Sesungguhnya ilmu pembelajaran dan pengalaman seharian kanak-kanak di bawah 9 tahun akan mempengaruhi pembentukan emosi, perwatakan, pemikiran dan peradapan ketika membesar.


Pada peringkat ini mereka sedang belajar akan kehidupan. Maka selaku ibu atau pengasuh perlulah memiliki pengetahuan dan kemahiran berkomunikasi bagi merasionalkan setiap insiden yang berlaku di depan mata anak-anak. Perlu diingat setiap ulasan dan penerangan itu perlu dikaitkan dengan ketauhidan kepada Allah.
Justeru itu para ibu perlu sentiasa meningkatkan pengetahuan dan kefahaman berkaitan dengan pengasuhan kanak-kanak. Ia boleh diperolehi menerusi pembacaan umum dan sesi pengalaman dengan para ibu mithali yang lain.




Selasa, 24 November 2009

ILMU KEPENGGUNAAN



Main dan kanak-kanak tidak boleh dipisahkan. Umpama lagu dan irama. Oleh kerana bagi kanak-kanak bermain adalah suatu keperluan. Ia satu bentuk pekerjaan bagi peringkat awal kanak-kanak. Khususnya peringkat di bawah 9 tahun. Di mana mereka belajar walaupun ketika bermain. Tertakluk kepada kita, selaku ibu bapa menentukan hendak menekankan pengisian ilmu yang hendak diterapkan pada ketika itu.

Di sini saya hendak berkongsi pengalaman di taman permainan Shah Alam. Maklumlah sekarang ini cuti sekolah. Maka petang tadi kami sekeluarga bersiar-siar di taman permainan. Biasalah bukan main gembiralah 3 orang anak saya. Mereka adalah Ahmad Syafiq (9 tahun), Ahmad Syahmi (7 tahun) dan Nur Sakinah (5 tahun).

Tiba-tiba Ahmad Syafiq memanggil saya lalu menunjukkan bahagian peralatan bagi 'wipe spider' telah rosak. Saya tergamam.

Anak saya menyatakan ini bahaya kepada kanak-kanak yang juga pengguna taman permaian ini.

Saya bersependapat dengannya. Lalu menasihatinya agar memaklumkan kepada kanak-kanak yang bermain di situ supaya tidak pergi ke bahagian yang rosak itu.

Selepas itu Ahmad Syafiq mengajak adiknya Ahmad Syahmi untuk bermain permainan lain yang lebih selamat.

Saya amat berbangga dengan kepekaan Ahmad Syafiq yang mementingkan keselamatan ketika bermain. Beliau telah tahu kepentingan keselamatan diri. Hal ini menunjukkan anak saya ini telah dapat membuat keputusan yang bijak selaku pengguna. Ini suatu pencapaian daripada proses bimbingan, pendidikan dan asuhan yang telah saya berikan selama ini.

Sesungguhnya usaha mengasuh, membimbing dan mendidik anak-anak hanya perlukan kepada perkembangan positif prosesnya. Ianya adalah jihad dan ibadah. Maka ianya memerlukan usaha yang berterusan. Tiada had limit.

























MENANAM AMALAN KESUKARELAAN DI JIWA ANAK


Anak adalah amanah Allah. Mereka adalah 'little Khalifah' di alam maya ini. Mereka ini diibarat kain putih. Ibu bapalah yang menentukan coraknya. Khususnya bagi anak-anak yang berusia sebelum baligh. Iaitu diantara usia 4 tahun hingga 6 tahun.



Pada peringkat usia ini, kanak-kanak sedang aktif meneroka pengalaman baru dan gemar melakukan sesuatu yang mencabar keupayaannya.



Contoh yang paling hampir adalah puteri bongsu saya. Beliau telah mengajak rakan-rakan sebayanya gotong-royong mengangkat kerusi sewaktu para ibu bapa dan AJK Sukaneka Tadika KEMAS Kampung Padang Jawa, Klang sibuk menyusun atur kerusi meja daripada setting Majlis Perasmian ke ruang acara sukaneka indoor di Kompleks Komuniti Subang Jaya.



Pada awalnya ramai ibu bapa menegah. Maklumlah, kanak-kanak secara fitrahnya suka bermain. Apa tidaknya sebelum mengangkat kerusi mereka sorong kerusi tersebut seperti kereta.

Lalu saya rasionalkan golongan ibu bapa ini bahawa anak-anak ini boleh melakukan dengan cara yang betul sekiranya ada penyeliaan. Maka, saya menemui anak-anak itu, menerangkan kepada mereka kita perlu menyusun kerusi dan meja dengan cepat sebab hendak bermain lawan tiup belon, rebut kerusi, bawa pundi kacang. Kalau lambat, nanti lambatlah makan ayam goreng A&W.



Melihatkan mereka telah sedia maka saya pun memberitahu anak saya dan rakan-rakannya di mana kerusi berkenaan perlu diletakkan. Kemudian menunjukkan cara mengangkat kerusi berpasangan. Alhamdulillah, mereka melakukan assingment tersebut dengan jayanya. Emmm.... bukan main seronok lagi. Tetapi sesekali saya kena mengingatkan mereka agar tidak berlari ketika membawa kerusi tersebut bagi mengelakkan diri daripada terjatuh atau berlanggar antara kawan. Jikalau jatuh atau terluka nanti susah hendak bermain dalam acara sukaneka.




Secara tidak langsung mereka ini telah terlibat secara aktif dalam aktiviti gotong-royong. Atau juga kerja sukarela.



Bak kata pepatah Melayu hendak melentur buluh hendaklah dari rebungnya. Begitu jugalah dengan amalan kesukarelaan ini. Yakinlah menerusi kesukarelaan anak kita belajar nilai-nilai berikut iaitu ;


  • bekerjasama,

  • bertolak-ansur,

  • melakukan kerja mengikut peraturan,

  • mengikut giliran,

  • mematuhi arahan,

  • mengutamakan keselamatan diri semasa melakukan kerja

  • melaksanakan dalam 'timeframe' yang ditentukan

  • saling hormat-menghormati

  • bantu-membantu

  • sentiasa sedia menghulurkan bantuan

  • belajar melakukan tugasan baru dengan hati lapang

  • menyesuaikan diri dalam masyarakat

Nilai-nilai berkenaan penting bagi perkembangan sosio-emosi kanak-kanak yang positif.


Insya-Allah, mereka akan menjadi generasi Malaysia yang prihatin dan berjiwa murni. Pada masa yang sama seawal usia ini kita telah membimbing mereka kemahiran multitasking. Ini adalah salah satu kemahiran soft skill yang amat ditekankan dalam modal insan.






Sabtu, 17 Oktober 2009

NILAI KESUKARELAAN MAMPU MEMACU PERJUANGAN UMNO

Seruan YAB Presiden UMNO tepat pada masa dan ketikanya.

Ya... UMNO perlu kembali kepada suntikan zat kesukarelaan dalam perjuangan jihad maruah agama dan bangsa.

Sejarah telah jelas menunjukkan bahawa perjuangan menuntut kemerdekaan dahulu memerlukan pengorbanan masa, fikiran, wang ringgit, keringat dan tulang empat kerat. Tanpa mengenal latar status, profesion dan warna kulit.

Malah tuntutan bagi mengekalkan nikmat kemerdekaan yang perlu diwariskan kepada generasi akan datang ini juga menuntut kita berjuang. Tetapi dalam bentuk fitrah yang lebih kompleks dan global.

Hal ini dapat diterjemahkan dan diamalkan sekiranya seseorang individu itu memiliki nilai dan semangat kesukarelaan dalam diri.

Individu pemimpin yang memiliki ciri-ciri nilai kesukarelaan ini jelas mempamerkan nilai kemanusiaan dan empati yang tinggi secara natural. Ia terpancar dari kalbu yang bersih dan tulus suci. Sebenarnya pemimpin ini adalah seorang insan yang kamil.

Antara kelebihan yang ketara terpancar dari tingkah lakunya adalah seperti berikut;
  • Segala usaha yang dilakukan adalah untuk keredaan Allah, kerana beliau faham dan maklum akan peranan dan tanggungjawabnya selaku Khalifah Allah. Iaitu segala perlakuannya adalah jihad dan ibadah demi kesejahteraan ummah dan alam sejagat. Maka dia akan menjauhi amalan rasuah dan lain-lain perkara yang mungkar. Baginya hidup adalah berlandaskan Al-Quran dan Hadis.

  • Segala ummah adalah hamba Allah. Tiada membezakan fahaman ideologi, agama, warna kulit, rupa atau kaum. Maka dengan rendah hati dan hati serta dada yang lapang dia akan mendekati segenap lapisan masyarakat dengan rasa hormat. Oleh itu dia sudah pasti konsep 1 Malaysia telah menjadi nadi amalan hidupnya. Insan pemimpin yang memiliki nilai rendah hati ini mudah didekati oleh semua golongan. Dia akan menguruskan segala urusan dengan penuh hemah dan kreatif. Ia sudah pasti memiliki EQ yang tinggi di samping IQ yang rasional berpaksikan iman dan taqwa.

  • Menunaikan tanggungjawab dengan ikhlas tanpa riak dan sombong. Baginya jawatan adalah amanah; tugas adalah ibadah; ibadahnya kerana atas niat kerana Allah. Dia berjihad menentang segala kebatilan dan kekufuran dengan penuh tawaduk.

  • Insan yang memiliki semangat kesukarelaan sedia serta cepat belajar dan sentiasa cintakan ilmu kebaikan. Baginya yang berilmu dan maha mengetahui adalah Allah.

  • Sesungguhnya insan pemimpin yang memiliki nur kesukarelaan ini memiliki multi-skill. Di mana dia bukan sahaja seorang pemikir, malah dia juga berupaya merancang, merangka kerja, mengurus, menyelia, memantau dan menilai. Dia juga seorang yang kreatif dan inovatif. Bukan itu sahaja, sebenarnya dia bijaksana mengatur dan mengurus sumber serta masa. Kebiasaannya mereka ini adalah seorang yang serius dalam tugas yang dilakukan dan mempunyai matlamat yang mahu dicapai bagi jangka yang tertentu. Mereka ini bukan jenis orang curi tulang atau mengipas. Itu sebabnya segala sentuhannya akan menjadi, ini yang menyebabkan mereka selalu menjadi mangsa hasad dengki.

Dengan hati yang tulus saya menyeru seluruh ahli UMNO dan masyarakat Malaysia agar bersama melakukan anjakan paradigma dalam hidup agar menyuburkan nilai kesukarelaan dalam diri dengan segera dan sedar.

Hidup UMNO ........... nadi negara bangsa 1 Malaysia.

Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...