Sabtu, 22 Oktober 2011

tsunami KELUARGA KOMUTER lebih perit dari keluarga 69

Istilah Keluarga Komuter ini diberitakan dalam  Berita Harian, Jumaat 21 Oktober 2011 dalam ruangan Nasional,   Ia merujuk kepada keluarga di mana suami isteri terpaksa hidup berjauhan akibat tuntutan kerja. 

Senario ini mulai berakar dalam kehidupan masyarakat Malaysia.  Apabila masing-masing berfikiran kerjaya merekalah yang menjadi sumber penting ekonomi keluarga.   Jikalau suami isteri tidak bekerja nanti tidak berasap dapur.   Walhal kini kerana sibuk dengan kerja memang api dapur jarang dinyalakan sebab lebih mudah menghidangkan lauk-pauk yang dibeli atau makan di kedai.

Jikalau diamati kehidupan mereka tidak lari bagai hidup orang bujang.  Cuma bezanya mereka memiliki zuriat atau cahaya mata.

Cahaya mata ini adalah amanah Allah.  Ketika lahir mereka diibaratkan sehelai kain putih.  Maka ibu bapalah yang mencorakkannya. 

Persoalannya, bagaimana ibu bapa dapat menjalankan tanggungjawab bagi mentarbiyahkan Khalifah Allah ini menjadi insan-insan yang soleh dan solehah?

Bayangkan bagaimana pula perkembangan emosi, spiritual, pembinaan sahsiah serta pembangunan nilai-nilai insaniah diri anak ini sekiranya dibesarkan oleh nenek yang telah uzur dan tinggal dalam serba kesempitan hidup di flat usang di tengah ibu kota?  Di mana persekitaran mereka lebih menonjolkan kepentingan sikap mementingkan materialistik.

Maka tidak hairanlah insiden yang diberitakan dalam akhbar KOSMO atau METRO gejala sosial isteri-isteri yang gersang dan kesepian rela bertindak di luar daripada tuntutan Syarak.

Nauzubillah...

Fenomena ini sungguh memberi tekanan mental kepada kaum HAWA.   Oleh kerana amnya, anak-anak terpaksa mereka uruskan sendiri.  Tambah menekan jiwa pada masa sama dipertanggungjawabkan menjaga ibu bapa yang uzur.   Sungguh getir lagi kehidupannya apabila suami lepas tangan pula dalam urusan nafkah anak dan hal ehwal urusan pembayaran bil-bil utiliti.

Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikulnya.

Seseungguhnya Saudaraku,  semua itu adalah ujian dan peringatan Allah kepadaMu. 

Firman Allah maksudnya;

"Dan berjihadlah kamu kepada jalan Allah dengan jihad sebenar-benarnya,  Dia telah memilih kamu dan dia sekali-kali tidak menjadikan untuk kamu dalam agama suatu kesempitan.  (Ikutilah) agama orang tuamu Ibrahim.  Dia (Allah) telah menamai kamu sekelian orang-orang muslim dari dahulu dan (begitu pun) dalam (Quran) ini supaya Rasul itu menjadi saksi atas dirimu dan supaya kamu semua menjadi saksi atas segenap manusia, maka dirikanlah sembahyang, tunaikanlah zakat dan berpeganglah kamu pada tali Allah.  Dia adalah pelindungmu, Maka Dialah sebaik-baik pelindung dan sebaik-baik penolong"
                                                                                                                            (Al-Hajj:78)

Usahlah kita menjadi golongan yang memiliki perasaan wahn di hati.  

Sahabat bertanya;

"apakah itu wahn ya Rasulullah?" Lalu Baginda pun menjawab " Cintakan dunia dan bencikan kematian"

Natijahnya, suami isteri perlu bijaksana dan saling berkompromi demi merealisasikan 'rumah ku syurgaku' dengan melahirkan generasi Muhlisin dan berjiwa Ehsan.   Ianya dizahirkan menerusi hasil sumber ekonomi keluarga yang berkat.  

Setiap anak telah ditentukan rezekinya maka usah gentar untuk menukar kerjaya demi kesejahteraan tumbesaran dan perkembangan holistik anak-anak.  







Rabu, 12 Oktober 2011

DUNIA KESUKARELAAN MEMBANTU aku MUHASABAH DIRI

"Umie, kenapa kita kena tolong orang?"

Pertanyaan Nur Sakinah, satu-satunya puteri ku membuatkan aku berfikir sejenak sebelum memberikan jawapan.   Oleh kerana sebagai orang dewasa mudah untuk aku menyatakan bahawa aku menolong orang lain kerana itu tanda keinsafan dan kesyukuran.  Berkemungkinan ia sudah memadai.  Namun untuk memaklumkan hal ini kepada kanak-kanak berusia 7 tahun barangkali sungguh kurang tepat.  Juga penyataan tersebut tambah membingungkan akal pemikirannya untuk memahaminya.

Malah ia bukan sahaja sekadar ucapan.  Sebaliknya ia menuntut butir-butir kata jawapan ku perlu mampu mendorong anak kecil ini turut melakukan tindakan yang sama.  Iaitu sedia membantu orang lain yang memerlukan pertolongan dan keperihatinan.

Alahai... terselanga Indonesia sikit pulak.    Tak ape yea.

"Kita kena tolong orang sebab Allah dan Rasulullah SAW menyuruh kita jadi orang yang boleh memberi bantuan dan pertolongan  yang kita mampu.   Sebagai tanda kita mensyukuri nikmat Allah kepada kita".

Nur Sakinah memandang muka ku dengan pandangan kosong.  Jelas jawapan ku itu kabur pada pemahamannya.

"Contohnya, hari ini Sakinah telah beri sedekah dari duit belanja sekolah kepada mangsa kebakaran di kampung kita.   Kita semua kena bersedekah kepada mereka kerana buku sekolah dan pakaian mereka habis terbakar.   Jadi  Kinah kena bersyukur sebab Kinah masih ada buku untuk dibaca, ada pakaian  untuk dipakai dan masih ada rumah untuk tinggal dengan selesa walaupun rumah kita tidak besar."

"Sedekah pulak tidak kira banyak atau sedikit, yang penting berniat hendak bantu orang kerana Allah maka ia dikira ibadah.   Bukan ke kita hidup ini untuk beribadah kepada Allah.  Dan perlu mencontohi Rasulullah SAW yang amat suka membantu orang sehingga sanggup ikat perut sendiri." tambahku lagi.

"Kinah dah belajar sedekah adalah ibadah umum"

"Pandai anak Umie ni."

Sesungguhnya pengalaman bekerja dan bersukarela selama hampir 13 tahun dengan Yayasan Salam Malaysia memudahkan urusan harianku.  Dan lebih utama lagi dunia kesukarelaan sentiasa memandu diriku untuk sentiasa muhasabah diri.  

Semoga amalan mulia ini menjadi ikutan putera-putera dan puteri ku.

Sabtu, 2 Julai 2011

BERSIH!!!!!

aKU amat risau dengan hasrat Ambiga yang mahu menganjurkan perhimpunan BERSIH.

Aku berpendapat selaku warga Malaysia yang memahami akan falsafah 5 prinsip RUKUN NEGARA pastinya memiliki semangat patrotik yang tinggi dan amat mencintai keharmonian kehidupan hidup masyarakat majmuk.  Jikalau ada ketidakpuasan hati boleh dikemukakan menggunakan saluran yang sedia ada.

Misalnya, menerusi media dalam TV3, rancangan Aduan Rakyat,  media cetak kepada semua akhbar bercetak dan elektronik serta e-media.  

Kecuali jikalau objektif perancangan beliau adalah untuk publisiti diri. 

Pengalaman saya selama 25 tahun melibatkan diri dalam NGO baik yg bersayap kanan mahupun kiri dapat menyelami hati budi individu pemimpin NGO ini. 

Aku kelaskan mereka kepada 3 jenis individu iaitu;
1.  BERDAKWAH BILL HAL,  101% perjuangan selaku Khalifah Allah.  Ini tugas para Dai baik daripada golongan ilmuan Islam, para profesional serta aktivis sosial yang tulen dalam 'nobel job'.  Golongan ini amat minoriti dalam pembuat dasar.  Namun berkat doa, buah fikiran serta sumbangan hasil kerjanya berupaya mensejahterakan komuniti dan masyakat sekelilingnya.  Amat bersyukur berkah perjuangan mereka kita masih terselamat daripada musibah besar.  
2.  BERSIH,  100% menyuarakan kepentingan masyarakat menggunakan saluran perundingan dan melobi demi kesejahteraan dan faedah masyarakat.  Terkadangkala usaha beliau memakan tempoh masa sepanjang hayat.  Tanpa publisiti.  Namun impaknya untuk generasi masa depan.  Dalam erti kata lain perjuangan melangkauan era milinium. 
3.  BERTENGGEK PADA MEDIA, 100% sentiasa mencari isu dan masalah baru untuk memastikan gambarnya besar dalam dada semua medium media massa dalam dan luar negara.  Sehingga sanggup menghalalkan cara.  Fokusnya rakus demi keagungan keakuan diri.

Seruan ku wahai teman, berfikir dan nilai sesuatu perkara menggunakan mata hati dan minda berlandaskan iman.  Sesungguhnya tangan, kaki dan tindakan kita yang menentukan corak perjalanan keamanan negara.  

Sabtu, 11 Jun 2011

"LAYANAN ISTERI VS PERKHIDMATAN PELACUR KELAS PERTAMA"

Perkahwinan adalah suatu ikatan pernikahan yang menghalalkan perhubungan seorang lelaki dan wanita dalam sebuah institusi kekeluargaan.   Oleh itu setiap perbuatan keduanya dalam menunaikan tanggungjawab selaku isteri dan suami yang ikhlas adalah suatu ibadah. 

Keharmonian pengurusan dan pentadbiran segala urusan dan aktiviti harian pasangan yang diibaratkan melayari sebuah masjid ini adalah suatu usaha yang mulia.  Oleh kerana zuriat yang lahir hasil perkahwinan ini, perlu dibimbing agar menjaluri sunnah dan mengamalkan serta menjauhi yang dilarang oleh Islam.  

Justeru itu tidak layaklah 'perkataan perkhidmatan pelacur kelas pertama' digunakan sebagai bidalan kepada menyeru agar para isteri memperbaiki sahsiah diri serta meningkatkan ketaatan kepada suami bagi menjaga kesejahteraan keharmonian rumah tangga.

Sesungguhnya bangsa Melayu mempunyai pekerti yang mulia.  Banyak perumpamaan, ungkapan kata yang lebih sopan dan berhemat boleh digunapakai untuk menyampaikan mesej ini.

Cara pendekatan Y. Bhg Datuk Norbayah dalam Slot Semanis Kurma perlu menjadi contoh teladan.  Di mana dalam usaha menyampaikan maklumat tips mensejahterakan rumahtangga menerusi seloka dan pantun. 

Bak kata pepatah terlajak perahu boleh berundur, telajak kata.  Tercalar maruah dan keperibadian pemilik diri.  

Semoga kesilapan cara penyampaian kenyataan awam pihak  kepimpinan Kelab Isteri Taat atau KIT perlu dijadikan iktibar oleh para pemimpin masyarakat yang lain dan kita semua.

Sayugia perlu diingati bahawa salah satu ciri isteri yang taat adalah menjaga tutur kata, kerana isteri solehah sentiasa menjaga maruah diri dan maruah suaminya.

Wallahualam.


Jumaat, 10 Jun 2011

NEGARA KEBAJIKAN PAS hanya ilusi

Aku bertanya pada diri.  Dan seharusnya setiap kita yang  hidup di bumi bertuah Malaysia ini juga perlu bertanya kepada mata hati.  

"Adakah kita tidak pernah menerima usaha kebajikan hasil perjuangan UMNO yang diwarisi?"

Generasi FELDA khususnya, adalah pembuktian jelas bahawa rakyat yang berusaha gigih meningkatkan ekonomi diri, berlandaskan aturan tahap-tahap plan strategi pembangunan ekonomi pertanian yang  dirancang sudah pasti kini telah meraih hasilnya.  

Pada awal  menjejakkan kaki ke tanah rancangan, tanah tapak rumah penuh dengan tunggul kayu hutan, Panas sebab tiada pokok sekeliling rumah.   Jarak rumah ke kebun jauh.  Di tepi hutan.  Pagi subuh kena berhimpun di Pejabat Felda.  Basikal tiada.  Menapaklah membelah suasana pagi.   Menyusuri lereng bukit anak-anak pokok getah yang perlu dibaja.

Getah, harganya tidak menentu.  Untuk menambah pendapatan keluarga.  Ada yang berniaga.  Ada berkebun sayur dan menanam pokok buah-buahan dan tanaman kontan.  Sambil itu berpakat membuka kolam ikan.   
Getah telah tua. Skim penanaman semula diikut.  Tukar kepada kelapa sawit. 

Jikalau dahulu menyewa tanah orang untuk bertani.  Dengan penyertaan sebagai peneroka FELDA mereka, keluarga dan keturunannya berupaya bangun menjadi penyumbang kepada pembangunan negara.  Bukan lagi selaku penerima khidmat sumbangan negara.

Di mana anak-anak FELDA yang berhingus pada suatu ketika dahulu.   Yang ada ketikanya perkembangan dan pertumbuhan pembesaran hasil sumbangan kebajikan bantuan makanan sekolah seperti susu, barli dan sebagainya.  Kini mereka sebilangannya adalah jutawan dan usahawan berjaya.  Ini menyumbang penambahan bilangan individu berjaya menerusi DEB.

aDAKAH ITU bukan kebajikan namanya?

Terkini penerima biasiswa JPA yang belajar di luar negara yang kurang berminat berkhidmat di tanah tumpah darahnya.  Juga hasil sumbangan kebajikan pemerintah BN.  tIDAK dekokrasikan pemerintah?  Oleh kerana baru kini ia disuarakan.  Hal ini bukan menyekat generasi muda mencari pengalaman dan kepakaran di luar sana.  

Malah terdapat insan yang amat tebal semangat nasionalis mencintai negara, bangsa dan agama sedia mengharungi segala kepayahan  menjadi seorang  perintis bidang-bidang baru.  Ramai dikalangan mereka kini telah menjadi Tan Sri, Datuk.  Tidak kurang hebat para usahawan TERNAK tani menerusi SME.

sELAKU ibu yang paling ketara adalah khidmat kebajikan kesihatan yang telah disediakan kepada para ibu mengandung oleh pihak Kementerian Kesihatan.  Kos vaksin dalam siri program imunisasi kepada bayi bukan murah.  

Jikalau PAS benar-benar jujur dan amanah, di mana janji PRU 12 anda.  Antaranya;
$  wang sumbangan kepada keluarga yang anaknya masuk U,
$  pemansuhan cukai pintu
$  mansuhkan tol
$  memastikan harga barangan tidak naik

Sekiranya Muktamar PAS telah sebulat suara bersetuju, sewajarnya dasar negara kebajikan PAS perlu dilaksanakan sekarang di negeri-negeri jajahannya.   Tanpa menunggu PRU 13.

Jikalau tidak ia hanyalah omongan kosong dan lirik2 lagu politik semata.  
  

Yang pasti era pemerintahan kini perlu di arah glokal. Sahsiah diri rakyat memiliki jatidiri insaniah yang mantap.  Kecintaan kepada watan tidak berbelah bagi.  Agama adalah amalan dan pesuluh diri.  Budaya terus didokong.

Justeru itu setiap individu rakyat  perlu memiliki wawasan semangat selaku seorang pejuang dan perintis untuk meneroka bidang-bidang baru dengan lebih cergas.   Oleh kerana ia adalah suatu ibadah fardu kifayah. Segalanya bermula dari diri sendiri, peringatkan ahli keluarga terdekat seterusnya kepada rakan taulan yang sedia menerima secara rendah hati dengan tawaduk.






 


Jumaat, 18 Mac 2011

SAYANG BELAJAR TINGGI-TINGGI TAPI DUDUK RUMAH *@~~

“Sayang belajar tinggi tapi duduk rumah jaga anak.”

“You tak bosan ke duduk terperap di rumah. Tak vogue lah you nie”

“Baru-baru nie you happy lah. Tunggulah masuk bulan ke5 dan seterusnya.”

“Ee... you tak rimas ke jadi driver anak-anak?”


Pelbagai lagi statement yang mengoncangkan iman. Malah ada ayat-ayat yang sampai ke gegendang telinga ini berupaya membangkitkan ion-ion stress yang meluap.


Beginilah, pada malam Jumaat yang rahmat ini dan ketenangan hati dan fikiran saya ingin mengambil kesempatan untuk menjelaskan duduk perkara. Mengapa saya tegas dengan prinsip dan falsafah kehidupan yang amat jauh berbeza sebelum ini.


Sesungguhnya keinsafan ini mula memutik dan terus mekar kuntum ketenangan ini selepas pemergian arwah abah pada 5 Dis. 2009 lalu.

Bagaimana kehadirannya, cara budaya kerja, gaya komunikasi dan belaian kasih saying dalam tempoh kesempatan yang singkat bersama putera dan puteri saya amat memberi kesan telaudan kepada mereka. Alhamdulillah sedikit masa itu sungguh bermakna kepada mereka. Segala tutur kata. Intipati nasihat arwah Datuk tersayang sehingga kini diikuti dan diingati mereka. Malah mereka saling ingat-mengingati suruhan arwah.

Lantas penuh hidayah, mata hati ini menilai dan muhasabah diri. Bagaimana diri ini selaku ibu mereka? Apakah impak yang telah saya tinggalkan dalam jiwa mereka baik dari segi sahsiah dan syariat?


Walhal Allah telah mengurniakan saya 2 orang putera yang bakal menjadi imam kepada ahli keluarganya.


Dan seorang puteri yang bakal menjadi suri kepada bakal suami.


Apakah asuhan dan bimbingan serta tarbiyah dari segi lestari akidahNya untuk mereka meniti kehidupan akhir zaman telah berpada? Agar ia dapat membajai amalah ibadah dan keteguhan iman. Oleh kerana keimanan tidak boleh diwarisi. Sebaliknya perlu dipupuk, diberi contoh teladan serta dipantau perkembangannya agar tidak bengkok pilihan jalan hidup mereka.


3 orang permata hati ini adalah harta yang tidak ternilai. Mereka Allah telah amanahkan sejak azali.


Baki tempoh waktu yang ada hanya 15 tahun lagi. Itu pun dengan izinNya. Oleh kerana itu purata sifir usia jangka masa lakonan Khalifahnya di pentas alam ini. Sungguhpun demikian kita tidak boleh menjangka bila ajal akan tiba. Semuanya ditangan-Nya Maha Kuasa lagi Maha Pengetahui.


Paling mengusarkan tanggungjawab azali selaku isteri. Walhal selama ini saya alpa dengan dunia sendiri. Sibuk dengan kerjaya. Hanya sekelumit masa dapat bersama suami. Namun saya sering memujuk diri bahawa waktu itu adalah usaha membantu suami bagi mengukuhkan ekonomi. Kini, Alhamdulillah kami telah ada tempat berteduh. Saya juga bersyukur memiliki kenderaan bagi memudahkan aktiviti seharian. Keperluan harian, amalan kesederhanaan menjadi pilihan.


Pilihan yang gaya hidup yang saya ambil kini adalah atas desakan suami demi keharmonian perkembangan sahsiah holistik anak-anak kami. Insya-Allah.


Ketukan di mata hati berkaitan hal ini amat kencang sekali. Tidak setanding dengan tiupan angin yang menjadi punca gelora ombak Tsunami di Jepun 11 Mac lalu. Ye... lebih dari itu.


“Umi, ini semua petunjuk akhir zaman. Akhirat tak lama lagi” Syafiq, anak sulung saya mengungkap kata-kata yang amat mengerunkan jantung dan nadi. Saya memang tersentap.



Ya...Allah berikan aku masa yang cukup

untuk membimbing zuriatku

menjadi hambamu yang soleh dan solehah.

Seandainya impian ini tidak kesampaian

dan ajalku telah tiba

maka pohon ku

kelilingilah zuriatku ini dengan hamba-hambaMu yang beriman

dan beramal soleh.

Jauhilah zuriatku ini

daripada segala kemungkaran,

kesengsaraan, kezaliman,

kekejian, kejahatan, kejahilan dan umpat keji.

Sebaliknya himpunkan dalam diri mereka

Dengan keimanan,

ketajaman ilmu yang bermunafaat,

kesejahteraan, kebahgiaan, keberkatan

dan kebaktian kepada kedua ibu bapa

ketauhidan kepada agama

kecintaan kepada negara bangsa

tanpa meminggirkan kejayaan di dunia dan akhirat.

Amin


Akhir sekali saya juga mengharapkan semoga ketiga-tiga permata hati dan suami ku khususnya sentiasa merasai akan kehangatan kasih cinta abadi seorang hamba Allah yang bernama Nooraini.

Khamis, 17 Mac 2011

SAMBUTAN HARI LAHIR KE-45/ 16 Mac 2011 yang bermakna.



Hadiah yang saya terima daripada anak-anak dan suami amat bermakna.  Kenapa? Nilai kesungguhan dan kasih sayang yang amat unik ini sungguh menyentuh naluri saya.

Misalnya kad ucapan dalam bentuk powerpoin amat mengkagumkan.  Walaupun tidak pernah mengikuti kelas komputer telah mampu menghasilkan kad ucapan ini. 


Sementara Ahmad Syafiq dan Nur Sakinah telah melukiskan kad ucapan yang istimewa juga. Sayangnya tidak dapat dimuatkan dalam blog ini.


Suami tersayang pula telah menghantar MMS. Ini pertama kali beliau menggunakannya untuk menzahirkan kasih tulusnya kepada ku.



Emm...



Bagaimanapun angka 45 ini amat bererti dalam hidup ku selaku Khalifah Allah. Jikalau mengikut kiraan angka umur purata yang diberikan kepada kita adalah hingga 60 tahun. Lebih daripada nilai angka itu ia adalah suatu bonus.



Dalam kiraan itu maka saya ada 15 tahun lagi untuk terus berbakti dan beribadah. Menyedari akan hakikat tersebut maka saya berhasrat untuk memberikan masa yang lebih kepada ahli keluarga. Khasnya kepada suami dan anak-anak.



Ya...Allah berkatilah usia dan segala ibadah bakti ku. Amin.

Selasa, 11 Januari 2011

KENANGAN

Imbauan deruan kenangan
yang manis
yang getir
yang menyentuh kalbu pilu
yang sering menyentap asa

Ya kenangan
senyum muram
tawa duka
tangis sendu
bungkam membisu

Ya
kenangan
indah
samar
kelam kelabu

itulah kehidupan
pentas dunia indukmu
sering berganti
tidak kekal
ia berubah
ia berputar
ia berganti

semua tidak abadi


Ahad, 9 Januari 2011

TAHUN 2011 datang dengan azam baru.

1/1/11 adalah tarikh keramat.  Ia juga menjadi tanda aras pencapaian diri ini pada 2010.  Bagaimana dengan anda?  

Aku terus memacu azam bagi meningkatkan kecermalangan sumbangan kepada keluarga tercinta dan masyarakat umum.   Namun aku lebih memberi tumpuan kepada ahli keluarga.  Oleh itu aku telah mengambil keputusan meletakkan jawatan di Total Genius Sdn Bhd pada 31/12/2010 lalu.  

Walaupun berat untuk meninggalkan kerjaya yang amat secucuk dengan kelayakan yang ku miliki, namun demi zuriat yang Allah telah amanatkan kepadaku lebih diutamakan.  Merekalah yang bakal menentukan kualiti keturunanku pada masa depan.  

Hal ini amat menyentuh dalam kalbu, kerana amnya usia umat Muhamad s.a.w. hingga 60 tahun.  Jikalau dihitung Insya-Allah, aku mempunyai tempoh hanya 15 tahun lagi bersama dengan yang tersayang.  Aku sedar sebelum ini masaku banyak diluangkan kepada kerjaya dan masyarakat.  

Detik kesedaran ini, mulai berputik setelah pemergian arwah abah.  Sesungguhnya masa yang diperuntukan bersama aku dan ahli keluarga yang lain amat bermakna.   Banyak kenangan yang kami cipta bersama.  Tetapi bagaimana dengan kehadiran diriku kepada anak-anak? 

Percutian keluarga ke Medan

Maka kini, aku dapat melakukan bersama-sama dengan anak-anak.  

Sungguhpun demikian aku juga akan tetap menyumbang pengalaman dan pengetahuan yang ada secara freelance dengan bebas kerana segalanya aku sendiri akan menentukan masa dan bidang tugas yang mahu dilakukan.

Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...