Ahad, 8 April 2012

Pengasuh Kanak-kanak Suatu Khidmat Yang Murni

Selamat sejahtera dan salam bahagia teman-teman semua.   

Entry kali ini saya ingin mengupas topik di atas.  Saya terpanggil untuk memikirkan hal ini dalam tempoh bersunyi beberapa hari ini.   Khususnya selepas tersebarnya di youtube kejadian pengasuh sebuah pusat asuhan kanak-kanak menutup mulut kanak-kanak dengan ceylotape.

Kesan daripada kejadian tersebut, terdapat sebilangan rakan pengusaha mengeluh.  Di sebabkan setitik nila rosak susu sebelangga. Tambah stress juga di kalangan pendidik taska (yang bekelulusan diploma pendidikan awal kanak-kanak dan masih single).  

Kenapa?

Gara-gara Ibubapa bertambah  cerewet tidak kena tempat.   Menyebabkan mereka rimas.

"Mereka ingat kami ini bibik ke?"

"Kami ini petugas taska yang diamanahkan menjaga kebajikan, mengasuh, membimbing dan menjalankan aktiviti bagi meningkatkan kecekapan perkembangan anak-anak mereka semasa tempoh 8am hingga 6pm sahaja.  Luar daripada tempoh itu menjadi tanggungjawab ibu bapa 100% pula menjaga kebajikan dan mengasuh anak-anak masing-masing."

"Ini tidak, terdapat ibu yang berpangkat tinggi.  Cerewet Nauzubillah.  Tapi dah 3 tahun, sejak anak dia baby hingga sekarang kalau petang kita serahkan anak pakai baju tu, esok pagi dia hantar anak lagu tu jugak."

dan.... bla...bla...bla...

Dipendekkan kisah, itu luahan rasa pengasuh/pendidik taska yang berkelulusan dan berilmu membahaskan isu tersebut.  Lain pulak nada keluhan yang hanya kelulusan SRP atau SPM atau  ibu tunggal yang tidak boleh membaca dan menulis apabila dirisik perasaan mereka.

"Kami tak kisah sangat dengan perangai ibu bapa.  Dah itu sikap mereka yang sayangkan anak.  Tambahan mereka yang bayar kita.  Kami bersyukur.   Yang penting kami dapat rezeki yang halal dan berkat.  Alhamdulillah, walaupun gaji ceput (kecil) saya masih mampu memberi kepada orang tua di kampung untuk sekolah adik-adik".

Berdasarkan coretan di atas, marilah kita muhasabah diri.   Walaupun ada kekurangan mutu khidmat pengasuh kerana tidak terlatih maka ibu bapa perlu membantu dari segi sokongan moral agar pengasuh di taska rasa dihargai.   Dari masa ke semasa ibu bapa digalakkan memberi suntikan ilmu pengetahuan dari segi asuhan anak berdasarkan pengalaman atau pembacaan kepada mereka.  Khususnya bagi golongan beliawanis atau remaja lepasan sekolah yang baru menceburi bidang pengasuhan ini.   Umumnya diterima bekerja kerana penyataan bahawa mereka suka bekerja dengan kanak-kanak.

Jadi 'win-win' stuationlah...

Bukan calang-calang orang boleh mengendalikan ragam 1: 5 kanak-kanak 3 hingga 4 tahun bagi tempoh 10 jam pada waktu siang.  Pada waktu mereka memang aktif.  Untuk bayi 2 bulan hingga 16 bulan kadar  1: 3.

Berdasarkan pengalaman dan pengamatan saya, pengasuh muda ini memang insan terpilih.   Allah telah mengamanahkan mereka akan kerjaya ini.  Sifat keibuan mereka kadang-kala mengalahkan ibu kandung kanak-kanak itu.  Bagi mereka cuti hujung minggu sunyi.   Mereka sentiasa teruja untuk bertemu dengan anak-anak asuhan mereka pada setiap pagi hari Isnin.

Mereka ini penuh sungguh-sungguh menjalankan aktviti yang bersesuaian dengan tahap kebolehan anak-anak.  

Refleksi saya,  menyimpulkan bahawa pengasuh kanak-kanak adalah suatu khidmat yang murni.  Mereka ini berhak diberi gelaran pendidik.  Oleh kerana mereka adalah pelaksana atau individu yang bertanggungjawab mendidik, mengasuh, memelihara keselamatan dan kebajikan serta penjagaan kanak-kanak semasa  ibu bapa bekerja.  Tambah murni dan harmonis jasa mereka ini kerana mereka bukan sahaja mengajar tetapi cuba mendidik rohani, jasmani dan mental untuk menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajari.

Contohnya amalan memberi salam; membaca doa ketika hendak makan, selepas makan dan sebagainya. Ini termasuklah membentuk keperibadian, sikap dan tabiat anak didiknya.  Heemm misalnya tabiat suka menggigit kawan.  Oooiii konflik ..

Justeru itu saya dapati pengasuh taska adalah pendidik.  Sebagai tanda penghargaan di sini saya kongsikan maklumat  SIFAT-SIFAT  wajib PENDIDIK ISLAM.  (maaf sangat...  sumbernya tidak tercatat pula oleh saya.  semoga ilmu ini membawa berkat kepada penulis naskah ini).

1.    Mempunyai sifat zuhud mendidik kerana mencari keredhaan Allah.   Namun tidak bermakna tidak boleh menerima ganjaran yang setimpal dengan penat lelah yang telah dicurahkan.

2.    Memiliki kebersihan diri.  Baik daripada personaliti, sahsiah, tutur kata dan memiliki sikap Khalifah Allah yang unggul.  Hindari sifat-sifat keji seperti hasad, sombong, riak dan mengumpat keji.

3.    Memiliki sifat rendah hati dan sentiasa menjaga kehormatan diri pada pandangan masyarakat berlandaskan tuntutan syariat.   Berperangai baik dalam pergaulan.  Tidak sesekali terlibat dalam suasana yang menjatuhkan maruah diri, keluarga, bangsa dan agama.

4.    Berperanan sebagai  ibu bapa atau penjaga kepada  kanak-kanak jagaannya.   Dengan memiliki perasaan kasih, saling hormat-menghormati serta memahami latar belakang mereka.

5.    Memahami tabiat kanak-kanak.  Aspek ini membolehkan pendidik dapat merancang dan melaksanakan pendekatan pembelajaran yang bersesuaian dengan tahap kesediaan dan kebolehan  serta kemampuan kanak-kanak.

6.   Bersifat ikhlas, jujur, amanah dan bertanggunajawab kepada tugasannya selaku pengasuh dan , penjaga, pembimbing dan pendidik  kepada kanak-kanak.  Sentiasa berpegang teguh kepada ajaran agama, istiqamah serta sentiasa beramal dengan ilmunya.  

Kesimpulannya, para pendidik awal kanak-kanak ini adalah jurutera pereka acuan insan agar apabila dewasa kelak akan menjadi seorang yang mempunyai jatidiri dan beriman, berbudi pekerti, berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat, agama dan negara bangsa. 








  

 






Tiada ulasan:

Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...