Selasa, 12 Mac 2024

Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah.

Alhammdulillah.  
Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.   

Oleh itu saya akan berkongsi insight berkenaan kehidupan, kekeluargaan dan perihal anak-anak bertemakan Ramadhan Kareem.  

Inilah salah satu misi saya pada Ramadhan Kareen 1445H ini.  

Nak tau content seterusnya. Follow le blog ni.

Jom sambung kerja hakiki.














 

Selasa, 5 Mei 2020

9 Kecerdasan dalam diri kita dan anak-anak

oleh
Nooraini Khaironi

Sedarkah kita bahawa Allah menjadikan kita seorang insan yang sempurna?

Sumber: Mira Halim Thursday, April 18, 2013 

Subhanallah, penemuan Howard Gardner menyatakan bahawa setiap individu memiliki 9 kecerdasan iaitu logik matematik, visual ruang, spiritual, muzik, interpersonal, intrapersonal, naturalis, kinestatik dan verbal lingustik.  Ia dikenali sebagai kecerdasan pelbagai.  Cuma tahap domiman sesuatu kecerdasan itu berbeza antara individu.  Itu ada anak gemar muzik sebab dia ada kecerdasan muzik, ada anak kita petah berkata, sering menjadi juara pidato kebarangkalian dia memiliki kecerdasan verbal lingustik.

Sistem penilaian anak-anak kita di sekolah kini telah berasaskan 9 kecerdasan ini.  Misalnya dalam aktiviti ko-kurikulum di sekolah anak-anak kita diasah potensi diri dari segi kebolehan anak-anak kita.  Itu sebabnya ada pelbagai kelab, persatuan dan aktiviti di sekolah.

Tips untuk mengembangkan kerjaya juga boleh berpandukan 9 kecerdasan ini.  Cuba lihat keputusan ujian psaikometrik anak anda.   Ia amat membantu anda merangka kerjaya masa depan anak-anak anda.  Keputusan peperiksaan jatuh nombor dua.  Oleh kerana akademik anak boleh digilap menerusi proses pembelajaran hingga ke peringkat tinggi kelak.  

Yang penting sekarang kita renung bakat anak-anak kita.  Ada anak yang cemerlang dalam sukan, tapi sederhana dalam akademik.  Ada hingga mampu mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa.  Segelintir ibu ayah selalu memarahi anak itu kerana banyak buang masa bermain.  Lantas menyekat penglibatan anak tersebut.   Tindakan ini memberi tekanan emosi kepada anak remaja.  Menyebabkan wujudnya keretakan hubungan anak dengan orang tuanya.  

Keadaan ini amat membahayakan ikatan perhubugan ibu ayah dan anak sepanjang hayat.  Oleh kerana dikhuatiri mereka hilang kepercayaan dan hormat kepada ibu ayah hingga menyukarkan ikatan kasih sayang sebagai ahli keluarga.  Di mana akhirnya anak remaja kita tidak sedia lagi berkongsi hal ehwal kehidupannya dengan ibu ayah.  Sebaliknya memilih rakan sebagai teman yang lebih dipercayai.

Sekiranya cabaran ini berlaku kepada diri anda.
Bagaimana untuk menawan kembali hati anak kita ini?

Di sini saya kongsikan tindakan positif yang perlu diambil.
1.  Muhasabah diri.  Munajat kepada Allah untuk memberi panduan dan pedoman.
2.  Akui dalam diri bahawa anda menghadapi masalah mengurus emosi ketika bersama anak.
3.  Ikuti kursus pengurusan emosi diri dan keibubapaan.
4.  Ilmu yang diperolehi daripada kursus kita amalkan dalam keluarga.
5.  Sentiasa berdoa dan membaca Al Quran.
6.  Ubah cara bertutur dengan anak.  Ucapkan yang baik-baik.
7.  Yakin kepada pemikiran dan getik hati bahawa anak kita sebaik-baik Ciptaan Ilahi.
8.  Sentiasa ucapkan Syukur kepada kelebihan anak.  
Contoh,"Syukur Ya Allah Alif taat beribadah.  
Sungguhpun dia tak pandai.  
Tapi subjek seni lukis dia selalu dapat A.
Setiap anak Allah dah tentukan rezekinya.
Insyaallah Alif akan jadi anak yang berjaya
dalam kerjaya dan akhirat."
9.  Sentiasa bercakap dengan diri bahawa Allah Maha Mengetahui.

Selaku ibu ayah,  perlu bijaksana menguruskan emosi dan perasaan marah kepada anak-anak.  Khasnya apabila anak-anak tidak mampu memberikan kejayaan akademik seperti mana yang anda impikan.  Kita perlu bijaksana.  Berpijaklah dibumi nyata.  Kejayaan kerjaya perlu lalui proses yang panjang dan getir.  

Perlu kita hindari kehidupan nyata bukan mudah.  
Kepayahan dan keperitan adalah universiti kejayaan tokoh ekonomi hari ini.
Perasaan marah kita perlu diubati.
Kata-kata kita perlu lebih berbentuk motivasi.  Bukan memaki.
Pemikiran kita bukan yang negatif kepada anak yang sedang membina kehidupan sendiri.

Itu sebabnya pada kaunselor keluarga berpesan jadikan anak kawan.
Kenali anak dan beri sokongan minat dan potensi dirinya.
Elak membandingkan antara anak kerana setiap anak ada keistimewaannya tersendiri.  Lihat 5 jari di tangan kita.  Tidak sama panjang.  Kegunaannya juga berbeza.  Tangan kanan untuk makan.  Tangan kira untuk beristinjak.  Tetapi kita perlukan keduanya bagi menyempurnakan tanggungjawab dalam kehidupan. 

Sungguhpun demikian ketika mengangkat takbir semasa solat kedudukan keduanya sama. Itulah mulianya insan pada mata Allah Maha Pencipta. 

Jadi siapa kita untuk melebalkan anak-anak syurgawi ini.
Ajari dan bimbinglah mereka menjadi insan berbudi dan berbakti.  
Kepandaian anak-anak adalah suatu rezeki.




Jumaat, 1 Mei 2020

MUHASABAH DIRI BINA SOLUSI.


Muhasabah diri. 
Bingkas dari syok sendiri.
Berlari menjejak peluang optimum potensi diri.

FB Nooraini Khaironi,12 Oktober 2017-11.28pm.

Kita adalah makhluk.  Berperanan selaku Khalifah Allah.  Hamba kepada Maha Pencipta iaitu Allah Azawajalla.  Kita insan yang tidak sempurna.  Oleh yang demikian kita disarankan agar melakukan  muhasabah diri.  Matlamatnya untuk sentiasa meningkatkan nilai taqwa pada kaca mata Ilahi.

Apakah itu muhasabah diri?

Muhasabah diri ini adalah menilai diri sendiri.   Lalu kita  sedaya upaya melakukan perubahan  dalam proses memperbaiki diri dalam hubungan kita dengan Allah.  Pada masa yang sama memurnikan hubungan sesama makhluk ciptaan-Nya.  Ia meliputi urusan seharian  hubungan  antara manusia dengan manusia, haiwan bahkan alam semesta.  Tidak terkecuali objek yang tidak bernyawa.  Seperti barang keperluan, harta awam, air, udara, seluruh cekrawala dan isi bumi.

Ia merangkumi ibadah fardhu ain dan fardhu kifayah.

Menerusi proses penilaian diri setiap hujung malam membangunkan rasa syukur dalam diri.

Pada waktu yang sama kita berupaya melatih membina  upaya roh ihsan di jiwa sanubari.   Di mana roh ihsan ini menghidupkan deria sensori bahawa segala perlakuan kita diperhatikan oleh Allah.  Dan apa sahaja yang kita lakukan mesti mematuhi perintah-Nya dan menjauhi dan meninggalkan segala larangan-Nya.  Segalanya demi menuntut keredaan Allah Yang Maha Esa.   

Oleh itu solok Iman dan akhlak Islam menjadi timbang tara untuk menjuruskan setiap perbuatan kita  bernawaitu sebagai ibadah kepada Al Khaliq Pencipta kita. 

Kenapa perlu muhasabah diri?

Kita perlu melakukan muhasabah diri  kerana mahu menjadikan diri kita lebih baik daripada semalam.  Dengan cara itu kita akan melalui satu proses kejayaan dalam kehidupan.

Pada masa yang sama kita  berupaya melakukan tindakan yang terbaik yang boleh kita lakukan untuk  meningkatkan kualiti diri dari hari ke hari.

Oleh yang demikian, kita kena sentiasa positif dan berusaha untuk berubah bagi mencapai kehidupan yang lebih tenang fikiran, sejahtera emosi dan memakmurkan kesyukuran dalam jiwa nurani.

Bagaimana cara untuk melakukan muhasabah diri?

Ia mudah untuk dilaksanakan.   Yakin anda boleh melakukannya.

Yang penting kita ada kemahuan untuk melaksanakan mengikut kesesuaian masa dan keselesaan diri sendiri. Masa yang terbaik adalah selesai solat.   Kita masih berwuduk.  Duduk bertafakur tenang dan berniat untuk melakukan muhasabah diri kerana keredaan Allah. Mulakan dengan beristigfar.  Mengucap dua kalimah syahadah.  Diikuti dengan selawat.

Disusuli dengan  kita bertanya kepada diri sendiri tentang apa perbuatan yang kita berasa tenang dan menilai apakah setiap perlakuan tersebut sesuai dengan perintah-perintah Allah Taala. 

Selepas itu dengan penuh rasa rendah diri,  kita mohon kemaafan kepada Tuhan.  Dengan perasaan rendah diri yang sama kita memaafkan kepada semua insan yang telah menyakiti hati dan menjadi asbab kecelaruan fikiran dan tekanan dalam hidup kita.  Sebaliknya kita doakan mereka agar hidup sejahtera dan bahagia.

Kemudian berdoa kepada Allah untuk memberi petunjuk yang benar.  

Langkah selanjutnya, kita muhasabah diri bagi merangka plan tindakan strategi untuk memulakan aktiviti esok hari.

Pada peringkat ini kita perlu bertanya tiga soalan ini kepada hati kita berlandaskan Iman.  Pertamanya, apakah perbuatan yang diinginkan itu mampu  dilakukan atau tidak.  Kedua, apakah perbuatan itu sesuai syariat.  Ketiga, apakah perbuatan itu akan dilakukan ikhlas kerana Allah.

Rumusan daripada penilaian diri ini, kita boleh tulis atau gambarkan dalam bentuk rajah yang jelas untuk panduan.  Tindakan ini dikenali sebagai vision board  iaitu impian yang akan kita capai.

Kita perlu istiqomah mempraktikkan amalan muhasabah diri setiap hari.

Hari demi hari kita perkemaskan ibadah solat lima waktu.   Disusuli juga  antaranya diikuti dengan  amalan ibadah sunat  seperti solat sunat Dhuha, zikir kubra Surah Al Matsurat dan puasa sunat. 

Apakah faedah yang kita perolehi setelah melakukan muhasabah diri?

Faedah muhasabah diri, membuatkan kita bingkas dari syok sendiri.  

Setiap kali melakukan proses muhasabah diri, selaku seorang muslim kita akan mengetahui akan kelemahan serta akan aib  diri sendiri, baik dalam hal amalan ibadah kita mahupun aktiviti dalam urusan duniawi. 

Lantas kita tahu apa yang harus diperbaiki pada keesokkan hari.   Agar hari esok lebih baik daripada hari ini.

Seperkara lagi, seseorang yang sering muhasabah diri akan gerun melakukan kemaksiatan dan keburukan.  Oleh kerana dia sedar setiap saat dirinya sentiasa diawasi oleh Allah Subhanahuwatallah.

Malah jiwa rohani kalbunya sering menghidupkan kesedaran bahawa untuk  merasa tenang dan damai dalam hidup hanya dengan melakukan kebaikan dan amal soleh demi mendekatkan diri kepada Ilahi.  Insya Allah dia akan berwaspada dengan bisikan hawa nafsu yang membinasakan.

Sesungguhnya muhasabah diri adalah aplikasi memperkasakan potensi diri untuk membina kejayaan yang total dan optimum  di dunia dan akhirat.  Oleh kerana ia didasari oleh  Islam, Iman dan lkhsan.

Nikmat muhasabah diri.

Subhanallah.

Amalan muhasabah diri ini menghidupkan sifat kehambaan kita kepada Allah Taala,   Di sinilah punca nikmat beribadah kepada Pencipta kita.    Maka berputiklah rasa kasih dan rindu kepada Baginda Nabi Muhammad SAW, kekasih Allah.   Terbit pula jentikan kalbu rasa kesyukuran yang mendalam kepada segala nikmat yang dikurniakan-Nya kepada kita. 

Rentetan itu, kita akan berusaha  keras menghindari diri dari melakukan perbuatan yang akan menghanguskan pahala kita.    Lantas dengan sedar kita akan berfikir bercakap dan berbuat  yang baik-baik.   

Sesungguhnya kemahiran melaksanakan amalan muhasabah diri satu demansi membina solusi diri untuk membina kejayaan dalam urusan duniawi dan ukhrawi.






 

Selasa, 28 April 2020

KEMBARA JANNAH MULA HARI INI


oleh
Nooraini Khaironi

Kita hamba Tuhan.
Laksanakan ibadah suatu tuntutan. 
Menuju Jannah impian setiap  insan beriman.

Petikan : FB Nooraini Khaironi, 20/12/ 2017. 1.44am.

Kita adalah Khalifah Allah.  Anak-anak adalah anugerah Allah.  Semuanya adalah Ummah Nabi Muhammad SAW.    Hamba  kepada Ilahi.

Sehubungan dengan itu kita selaku ibubapa secara automatik ditauliahkan selaku pendakwah.  Oleh yang demikian, segala urusan mengenalkan Allah dan menyantuni akhlak Sunnah Rasulullah SAW tertanggung atas bahu kita semua.

Hal ini seiringan dengan amanah bahawa ibubapa adalah pendidik utama.  Daie pertama kepada anak-anak.  Zuriat benih legasi keturunan kita.  Dengan itu wujudkan suasana madrasah dalam rumah kita.   Selaras dengan ungkapan baiti jannati.  Ertinya rumah ku syurga ku.

Justeru itu mengajar  ketauhidan Tuhan adalah tugas hakiki ibubapa.   Proses tarbiyah ini dimulakan dengan menyedarkan diri  sendiri dan ahli keluarga yang dicintai bahawa hidup di dunia hanya sementara.   Amal ibadah kepada Yang Maha Esa tunjang utama hidup  hamba kepada Pencipta-Nya.

Amanah tersebut merupakan tanggungjawab yang telah ditauliahkan oleh Ilahi sejak azali.  Dan menyakini bahawa akhirat akan menjelma juga amanah termaktub dalam plan kehidupan tercatat oleh kalam Al-Khaliq dalam Al Quran mukjizat Nabi Muhammad S.A.W..

Lantaran itu kita perlu membimbing diri mempersiapkan diri.   Mulakannya pada saat ini.  

Selaku pembimbing anak-anak, usah bertangguh untuk meningkatkan mutu amal ibadah kepada  Ilahi.   Gunakan setiap saat hela nafas kita yang Allah kurnia untuk berzikir kepada-Nya.   Pada setiap detik kesempatan yang diberi penuhi dengan amalan kebaikan dan kebajikan kepada makhluk alam.  Bukan sahaja untuk diri kita.  Ia juga melibatkan keseluruhan ahli keluarga. 

Dalam hal ini, saya sering berbisik dalam hati ;

“Anak tidak cemerlang dalam akademik, suatu perkara lumrah dunia ujian kehidupan.  Mungkin juga anak-anak kita boleh menduduki peperiksaan ulangan.  Ataupun anak kita boleh membuat menukar bidang pendidikan yang lain.  Malangnya sekiranya kita gagal dan kecundang dalam urusan di Padang Mahsyar maka padahlah dia.  Kecundang jualah kita selaku ibubapa. Kerana akhirat kekal abadi.”

Demi sedar mengejar kejayaan dunia ini terkadang kita alpa  berkemungkinan jiwa anak memberontak kerana impian kita jauh tersasar daripada keupayaan inteleknya.

Statistik menunjukkan peningkat bilangan anak-anak yang stress.  Paling menyedihkan ada yang mengambil tindakan di luar keimanan seperti terjun bangunan dan membunuh diri.

Antara asbabnya  ramai ibubapa menekankan belajar untuk dapat A++ dalam peperiksaan.   Suatu pencapaian yang berasaskan intelek akal logik sahaja.   Sedangkan hati dan jiwa kosong dengan Iman dan amal membangunkan nurani.    

Di mana kita mengabaikan nilai A untuk Allah dalam urusan seharian diri. 

Menyedari hal itu kita selaku ibu bapa hendaklah mengambil langkah mengharmonikan hubungan antara kita dan anak.  Serentak dengan itu kita kembali ke pangkal jalan menuju keredoan  Tuhan. 

Lantaran itu kita perlu lengkapkan anak-anak dengan Iman.   

Berikut tindakan yang ibu bapa boleh amalkan bagi menghidupkan roh Khalifah Allah dalam diri anak-anak iaitu:

1.     Sunnah mengazan dan qamat dilakukan ketika menyambut kelahiran anak.  Kemudian budaya berkenaan diteruskan sepanjang hayat.  Dalam solat berjemaah misalnya.  Usah cemari pendengaran anak dengan bunyian yang lagha.

2.    Pendidikan akhlak berlandaskan sifat-sihat Rasulullah SAW iaitu siddiq, amanah, tabligh dan fatonah diterapkan dalam kehidupan.  Ibu bapa perlu menjadi teladan.  Jadi kita kena pertontonkan amalan-amalan dan nilai-nilai yang mulia seperti tutur kata sopan, menghormati orang tua, belas kasihan kepada orang susah dan sebagainya.



3.    Anak-anak kena didedahkan dengan aktiviti fizikal ‘outdoor’ atau ‘indoor’ , bersesuaian dengan peringkat umur dan jantinanya.  Misalnya dengan aktiviti riadah.  Elok juga digalakkan anak-anak menyertai acara sukan sunnah seperti memanah dan menunggang kuda.  Di samping aktiviti sukan yang popular masa kini.  Antaranya berbasikal, scuba dan sebagainya.    Selari dengan pepatah ada menyatakan, akal yang cerdas dari tubuh yang sihat. 

4.    Bagi menjauhi perkara-perkara yang mungkar, misalnya kita perlu jelaskan hal-hal yang berkaitan dengan hukum hubungan lelaki dan perempuan, batasan aurat, adab pergaulan dengan bukan mahram.  Ini termasuklah sifat malu dan intergreti maruah diri.  Ilmu pengetahuan tentang hukum halal haram ini dapat memelihara maruah diri, nama baik keluarga dan agama.

5.   Anak-anak kena dididik dengan naluri dan perasaan yang sentiasa positif.  Ini membina naluri redho dan tawaduk kepada Qada’ dan Qadar Allah.  Ia dapat membantu membina sikap kematangan mereka.  Faktor ini menlahirkan sifat yakin diri, sifat berani, kuat semangat, tabah, sabar dan ehsan.

6.    Berceritalah dengan anak-anak bahawa cara hidup Islam ini indah.   Dengan cara berkongsi rasa nikmat tekala kita sentiasa memperbaiki mutu amalan Islam dalam kehidupan yang memberi ketenangan dan kebahgiaan.    Misalnya memperbanyakkan amalan zikirullah dengan menyebut Hasmaul Husna seperti Allah,  Ya Rohman, Ya Rohim, Ya Rozzak, Ya Fattah hu Ya Alim.  Disulami pula surah 3 Qul.  Nyatakan faedahnya kepada kehidupan.   Bersama-sama kita mengamalkannya. 

Semuanya bermula hari ini.  Kita lakukan dengan istiqomah  sebelum nafas terhenti.  



Strategi motivasi anak-anak tadarus Al Quran

oleh
Nooraini Khaironi


Sumber: Whatapps Group ISNO Family

Selaku ibu bapa, dalam tempoh bulan Ramadhan ini hendak anak-anak kita jinak untuk membaca Al Quran atau bertadarus Al Quran.  Secara sukarela.   

Subhanallah...
Nikmat ini melalui suatu proses bimbingan dan asuhan yang panjang.  Ia sebenarnya perlu dimulakan sejak usia 3 tahun.  Di sini dikongsikan pengalaman saya, kini  setelah mereka remaja baru dapat dilihat mereka menyerlahkan kefahaman 'seronok' membaca Al Quran dalam tempoh Ramadhan selepas solat.  Syukur, anak-anak mampu urus masa dan set target jumlah muka surat Al Quran seharian.

Bagaimana kita membimbing anak-anak untuk tadarus Al Quran?

#1.  Selaku ibu bapa kita perlu menjadi role model kepada anak-anak syurgawi kita.  Oleh itu amalan membaca Al Quran perlu kita jadikan rutin harian.  Oleh kerana rutin ibu bapa membaca Al Quran sebenarnya didengari dan diperhati oleh anak-anak.  Tambah pula anda sendiri mengajar mengaji anak-anak.  Kemudian kita sentiasa memantau amalan membaca Al Quran anak-anak sebagai aktiviti harian mereka.  Sungguh pu mereka tinggal di asrama atau kolej.

#2.  Khususnya bulan Ramadhan, sudah pasti kita selaku ibu bapa berimpian aktiviti membaca Al Quran atau dipanggil sebagai Tadarus Al Quran lebih mesra sebagai aktiviti harian kita sekeluarga.  Tambah bahagia apabila alunan bacaan Al Quran sentiasa bersenergi dalam setiap ruang persekitaran rumah kita.  Allah hu Akhbar.  Allah hu Akhbar.  Allah hu Akhbar.

#3.  Jom wujudkan Whatapps Group Tadarus Al Quran dalam kalangan ahli keluarga yang boleh membaca Al Quran dalam semua peringkat usia.  Misi utama adalah memberi galakan kepada individu yang telah memilih juzuk (satu daripada juzuk 1 hingga 30)  untuk urus disiplin diri membaca ayat-ayat Al Quran hingga selesai.  

#4.  Mereka yang telah selesai membaca isi kandungan juzuk pilihan, mereka akan tick dalam Group Whatsapp (rujuk contoh di atas).   Ini faktor yang memotivasikan diri anak-anak untuk membaca Al Quran setiap hari.  Saya perhatikan anak-anak saya berlumba dengan para sepupu untuk menyelesaikan mission menyempurnakan bacaan Al Quran Juzuk yang telah dipilih.

#5.  Namun perlu kita ingat, selaku ibu bapa kita perlu sentiasa mengingatkan diri aktiviti tadarus ini berfokuskan membudayakan amalan membaca Al Quran.  Bukan untuk cepat selesai.  Oleh kerana anak-anak kita berlainan keupayaan tahap keupayaan membaca Al Quran.  Anak yang cerdas kita raikan.  Manakala anak yang kurang cemerlang dan lambat kita dekati dan dampingi dengan kata-kata motivasi 

"bahawa para Sahabat Nabi pun baru baca Al Quran usia dewasa.  
Begitu juga para mualaf.  Mereka tetap bersungguh membaca Al Quran.."


Inilah impak luar biasa kepada amalan membaca Al Quran dalam PKP ini.   Kepada anak-anak yang telah selesai mission mereka, galakkan untuk memulakan mission khatam Al Quran untuk diniatkan kepada kecemerlangan diri pula.

Manakala anak-anak yang tidak boleh lagi membaca Al Quran boleh digalakkan Iqra atau Muqaddam atau mengamalkan bacaan ayat-ayat Juzuk Ammar.  

Di samping itu melipatkan gandaan berzikir.  Misalnya pada hari biasa lepas solat zikir 33 x.  Pada Ramadhan Zon PKP tingkatkan lepas solat atau pada masa lapang tingkatkan zikir kepada 2000x.  Juga selawat tingkatan 2000x setiap hari.  MasyaAllah.

Inilah magik PKP.  Makluk Covid 19 sebenarnya Allah S.W.T. mahu kita tingkatkan kualiti ibadah pada bulan Ramadhan 1441H.

Jom hidupkan Ramdhan dengan amalan ibadah kita.
InsyaAllah banyak nikmat Allah akan kita miliki rezeki yang di luar jangka.




Isnin, 27 April 2020

RAMADHAN tiba ramadah tiba ... anda fikir Raya atau ubah mindset tentang konsep life style?

oleh

Nooraini Khaironi


Hari ini telah masuk hari ke-4 Ramadhan 1441H.  Dalam FB telah banyak iklan baju dan kuih raya.  Sudah barang tentu anda telah berkira-kira untuk melaburkan sebahagian kewangan menerusi online buying.

Itu adalah adat rutin masyarakat kita.   Ini menjelaskan bahawa kehidupan PKP tidak mampu mentarbiyah mindset kita.  Bahawa pengetahuan dan kemahiran individu perlu ditingkatkan seiring dengan keperluan hidup pasca Covid 19.  Di mana kita perlu tukar life style dan target masa depan yang lebih bermakna dalam  dunia pasaran pekerjaan berdasarkan unjuran nilai ekonomi pasca musibah Covid 19.

Bagaimana tu?

Maksudnya kita perlu senaraikan cabaran semasa PKP.  Kemudian kenal pasti tindakan yang kita perlu ambil kepada solusinya.

Di sini dikongsikan analisis diri saya, sebagai contoh ye.

Langkah 1:  Senarai cabaran yang dihadapi semasa PKP.
a)   Sukar hendak buat pembayaran urusan pelajaran.
b)   Kewangan simpanan menyusut.
c)   Program training kena batal.

Langkah 2:  Senarai tindakan menangani cabaran pasca PKP.
a)   Daftar e-banking.
b)   Tukar cara hidup lebih bermakna.  Misalnya Raya tahun ini no shopping.  Bersyukur guna apa
yang ada.  Tema warna, hitam putih. Pakaian: Jubah.   Duit fokus untuk kegunaan pelajaran anak-
anak.
c)   Saya  kena ada kemahiran kaedah on-line training packaging.

Langkah 3:  Tindakan yang perlu saya ambil.
a)   Sedia belajar untuk mengatasi cabaran kita.  Ikut falsafah Jack Ma ... untuk menghadapi pasaran
global dia belajar bahasa Inggeris.  Jadinya untuk tindakan saya perlu tukar ke e-banking dan belajar kaedah on-line training packaging.
b)   Raya tahun ini dan mendatang saya perlu tarbiyah diri dan ahli keluarga agar lebih kreatif
pelbagaikan matching pakaian supaya kekal elegan.  Walaupun bukan baju raya baru.

Hal ini membuatkan kita menjadi insan yang bersyukur dan fleksibal.  Namun kualiti hidup tetap ditingkatkan.

Syukuri nikmat apa yang kita miliki kini.  Cerdik pandai selalu kata  Ramadhan adalah sekolah menginsankan individu Muslim.  Supaya kita empati kepada golongan yang serba kekurangan.  Manakala Syawal menyambut kemenangan kerana kejayaan kita menunaikan ibadah sepanjang Ramadhan.  Semoga Syawal 1441H kita menghidupkan budaya para Anbiya dengan amalan puasa 6 Syawal.

Inilah didikan Allah kepada kita yang sebenar menerusi musibah Covid 19 dan PKP.


Khamis, 23 April 2020

JIHAD JAJAH DIRI.

oleh

Nooraini Khaironi


Jihad besar dalam diri. 
Baik buruk akal menimbang iman di hati.

Petikan : FB Nooraini Khaironi. 25 Oktober 2017. 12.58 am.


Lumrah alam ibu mempunyai talian erat dengan anak.  Insan inilah pendidik pertama.   Mereka melakukan tanggungjawab bersungguh-sungguh sebagai perawat, pengurus, pemandu, perancang aktiviti juga  rakan penenang waktu duka kepada anak-anak.  Hingga ada ketika  sedia mengorbankan kehidupannya sendiri demi kesejahteraan anak-anak dan ahli keluarga.  

Itulah jihad seorang ibu. 

Menurut Ibnu Taimiyah,  jihad tidak terbatas kepada peperangan. 

Pada hakikatnya  jihad itu mencakupi segala bentuk kegiatan dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang diredhoi Allah.  Baik berupa amal soleh, keimanan dan menolak perkara yang dimurkai Tuhan.     Termasuklah segala bentuk usaha untuk penerapan agama Islam, pembenterasan kezaliman serta kejahatan, baik terhadap diri sendiri  maupun  dalam  masyarakat.

Maka, jihad dalam  konteks kehidupan seharian seorang ibu adalah perjuangan menegakkan syariat Islam sepanjang hayat di kalangan ahli keluarganya.  Khususnya untuk membentuk anak-anak yang mosleh.  

Mosleh itu bermaksud seorang yang membaiki.  Bukan sahaja untuk keimanan dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri.  Sebaliknya dia sedia berkhidmat dan memberi sumbangan demi kesejahteraan penghuni alam demi Islam dan berjihad pada jalan Allah.  

Bagaimanapun selaku manusia biasa kita kecundang dengan keadaan.  Ada kala ibu tidak lari dengan sikap marah, kecewa dan berduka. 

Terkadang jatuh hiba mengenangkan apa yang diimpikan  diluar jangka.  Oleh kerana semua ibu mengharapkan anak-anak yang cemerlang dalam pendidikan akademik.   Sebaliknya itulah bahagian ketentuan Ilahi.  Anak-anak tidak menyerlah dalam kecemerlangan skor A++.  Tiada ibu yang rela anaknya corot sebegini.

Inilah hakikat kehidupan.  Setiap anugerah cahaya mata, Allah telah menentukan arah hidup.  Anak juga ujian kepada ibu bapa.  Setiap anak,  Allah telah tentukan rezekinya. Allah lebih tahu keperluan perjalanan hidup kita.  

Bersangka baik dengan ketentuan Allah, kita perlu bingkas lalu mensyukuri  zuriat
kurniaan Ilahi.   Setiap insan Khalifah Allah ada kelebihan tersendiri.

Allah berfirman dalam Surah At-Tin, ayat 4 yang bermaksud ;

“Sesungguhnya kami telah jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.”

Menyedari hakikat  itu, kita perlu sentiasa bersangka baik dalam setiap hal yang  dilalui.  Pada detik sebegitu adalah dicadangkan supaya peruntukkan masa yang  khusus  untuk merungkai segala prasangka negatif.  Dalam erti lain bisikan syaitan.   Kita  jangan terjelepuk, mengeluh, meratapi, menyesali atau menyalahkan takdir.  
Nauzubillah.

Pujuklah hati bahawa cubaan tersebut adalah sapaan berhikmah Tuhan kepada  kita
hamba-Nya. 

Tingkatkan tafakur kita dengan unsur rasa kesyukuran, berbicara dengan suara hati yang penuh keimanan kepada Tuhan sering memberi kekuatan.  Bisikan iman merangsang kita mengingatkan bahawa Allah satu-satunya  teman.  Sesungguhnya  Al- Khaliq jua yang Maha Penyayang.  

Apabila segala yang kita lakukan berniat kerana Allah,  hati menjadi tenang, dada amat lapang dengan segala ranjau kehidupan mengguruskan anak-anak, Khalifah Allah ini akan dipermudahkan.  Insya-Allah.

Mulakan segala aktiviti kita dengan Bismillah.  Akhirinya dengan Alhamdulillah.  Segala kesenangan dan kejayaan yang diperolehi ucaplah Masya-Allah, Subhanallah,  Allah hu akhbar.

Keperluan hakiki selaku hamba-Nya untuk akhirat adalah sasaran utama.   Apabila anak-anak tawaduk dan istiqamah  melaksanakan ibadah dan menjauhi segala larangan-Nya, pasti minda dan hati mereka bersih daripada debu-debu pemasalahan keruntuhan akhlak dan gejala sosial.  

Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW;

“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya 
kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaat 
dengannya dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.”
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Oleh yang demikian, kita perlu sepenuh hati menggalas tanggungjawab mengasuh anak-anak amanah Allah ini untuk mentaati dan beribadah kepada Pencipta-Nya dan mencegah diri dari mendekati perkara-perkara mungkar. 

Insya-Allah kecemerlangan yang hadir dalam diri menjadi milik yang diberkati. 
Dengan itu susurilah jihad untuk jajah jiwa nurani diri dengan Islam, Iman dan Ihsan.

Nukilan inspirasi.

#syukurterapinurani
#legasidatinnooraini



Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...