Khamis, 23 April 2020

JIHAD JAJAH DIRI.

oleh

Nooraini Khaironi


Jihad besar dalam diri. 
Baik buruk akal menimbang iman di hati.

Petikan : FB Nooraini Khaironi. 25 Oktober 2017. 12.58 am.


Lumrah alam ibu mempunyai talian erat dengan anak.  Insan inilah pendidik pertama.   Mereka melakukan tanggungjawab bersungguh-sungguh sebagai perawat, pengurus, pemandu, perancang aktiviti juga  rakan penenang waktu duka kepada anak-anak.  Hingga ada ketika  sedia mengorbankan kehidupannya sendiri demi kesejahteraan anak-anak dan ahli keluarga.  

Itulah jihad seorang ibu. 

Menurut Ibnu Taimiyah,  jihad tidak terbatas kepada peperangan. 

Pada hakikatnya  jihad itu mencakupi segala bentuk kegiatan dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menghasilkan sesuatu yang diredhoi Allah.  Baik berupa amal soleh, keimanan dan menolak perkara yang dimurkai Tuhan.     Termasuklah segala bentuk usaha untuk penerapan agama Islam, pembenterasan kezaliman serta kejahatan, baik terhadap diri sendiri  maupun  dalam  masyarakat.

Maka, jihad dalam  konteks kehidupan seharian seorang ibu adalah perjuangan menegakkan syariat Islam sepanjang hayat di kalangan ahli keluarganya.  Khususnya untuk membentuk anak-anak yang mosleh.  

Mosleh itu bermaksud seorang yang membaiki.  Bukan sahaja untuk keimanan dirinya, beramal dan bertaqwa seorang diri.  Sebaliknya dia sedia berkhidmat dan memberi sumbangan demi kesejahteraan penghuni alam demi Islam dan berjihad pada jalan Allah.  

Bagaimanapun selaku manusia biasa kita kecundang dengan keadaan.  Ada kala ibu tidak lari dengan sikap marah, kecewa dan berduka. 

Terkadang jatuh hiba mengenangkan apa yang diimpikan  diluar jangka.  Oleh kerana semua ibu mengharapkan anak-anak yang cemerlang dalam pendidikan akademik.   Sebaliknya itulah bahagian ketentuan Ilahi.  Anak-anak tidak menyerlah dalam kecemerlangan skor A++.  Tiada ibu yang rela anaknya corot sebegini.

Inilah hakikat kehidupan.  Setiap anugerah cahaya mata, Allah telah menentukan arah hidup.  Anak juga ujian kepada ibu bapa.  Setiap anak,  Allah telah tentukan rezekinya. Allah lebih tahu keperluan perjalanan hidup kita.  

Bersangka baik dengan ketentuan Allah, kita perlu bingkas lalu mensyukuri  zuriat
kurniaan Ilahi.   Setiap insan Khalifah Allah ada kelebihan tersendiri.

Allah berfirman dalam Surah At-Tin, ayat 4 yang bermaksud ;

“Sesungguhnya kami telah jadikan manusia dengan sebaik-baik kejadian.”

Menyedari hakikat  itu, kita perlu sentiasa bersangka baik dalam setiap hal yang  dilalui.  Pada detik sebegitu adalah dicadangkan supaya peruntukkan masa yang  khusus  untuk merungkai segala prasangka negatif.  Dalam erti lain bisikan syaitan.   Kita  jangan terjelepuk, mengeluh, meratapi, menyesali atau menyalahkan takdir.  
Nauzubillah.

Pujuklah hati bahawa cubaan tersebut adalah sapaan berhikmah Tuhan kepada  kita
hamba-Nya. 

Tingkatkan tafakur kita dengan unsur rasa kesyukuran, berbicara dengan suara hati yang penuh keimanan kepada Tuhan sering memberi kekuatan.  Bisikan iman merangsang kita mengingatkan bahawa Allah satu-satunya  teman.  Sesungguhnya  Al- Khaliq jua yang Maha Penyayang.  

Apabila segala yang kita lakukan berniat kerana Allah,  hati menjadi tenang, dada amat lapang dengan segala ranjau kehidupan mengguruskan anak-anak, Khalifah Allah ini akan dipermudahkan.  Insya-Allah.

Mulakan segala aktiviti kita dengan Bismillah.  Akhirinya dengan Alhamdulillah.  Segala kesenangan dan kejayaan yang diperolehi ucaplah Masya-Allah, Subhanallah,  Allah hu akhbar.

Keperluan hakiki selaku hamba-Nya untuk akhirat adalah sasaran utama.   Apabila anak-anak tawaduk dan istiqamah  melaksanakan ibadah dan menjauhi segala larangan-Nya, pasti minda dan hati mereka bersih daripada debu-debu pemasalahan keruntuhan akhlak dan gejala sosial.  

Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW;

“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya 
kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang diambil manfaat 
dengannya dan anak yang soleh yang mendoakan untuknya.”
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Oleh yang demikian, kita perlu sepenuh hati menggalas tanggungjawab mengasuh anak-anak amanah Allah ini untuk mentaati dan beribadah kepada Pencipta-Nya dan mencegah diri dari mendekati perkara-perkara mungkar. 

Insya-Allah kecemerlangan yang hadir dalam diri menjadi milik yang diberkati. 
Dengan itu susurilah jihad untuk jajah jiwa nurani diri dengan Islam, Iman dan Ihsan.

Nukilan inspirasi.

#syukurterapinurani
#legasidatinnooraini



Tiada ulasan:

Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...