Ahad, 1 Disember 2013

JOM MOTIVASI DIRI - PENDIDIK (1)

2013 MULA sampai penghujung.  2014 akan menjelma.  Semakin dekat angka 2 Jan 2014 selaku Pendidik Awal Kanak-Kanak debaran turut terasa.  Khususnya pendidik yang masih junior.  Kurang pengalaman ujar adik-adik ini.

Sebenarnya adinda ku, debaran tetap menggegar jiwa dalam proses persiapan menerima anak-anak didik baru.  Justeru itu kita perlu berlapang dada dan berfikiran terbuka.  Hormatilah anak-anak didik kita sebagai individu yang memiliki potensi untuk menjadi insan cemerlang secara holistik.

Tips nya adalah ... ehsan, cekap, sabar dan tawaduk secara istiqamah.  Sentiasa mengingatkan diri bahawa anak didik kita adalah Khalifah Allah. Tugasan kita adalah suatu ibadah.

Semoga kita sentiasa diberkati Allah.

Ahad, 28 Julai 2013

SEMUANYA BERMULA DARI JUADAH BERBUKA DAN BERSAHUR YANG SEDERHANA

"Budak-budak kat rumah tu kalau tak berlauk ayam, merunggut panjang.  Kita yang memasak nie naik muak.   Harga ayam bukan mudah.  Entahlah budak-budak sekarang ni. "  Keluh  Ibu A..
"Anak saya tak kisah,  yang penting masakan mesti panas.   Masak ringkas-ringkas pun tak ape.  Nasi goreng laju aje."  Tambah Si Ibu B.
"Salah kau orang jugak.   Sapa ajar anak-anak makan benda segera.  Ayam goreng orang putih yang menggemukkan.  Cuba kalau dari dulu didedahkan juadah kita orang Melayu tentu tak menyusahkan poket kau orang jugak.   Contohnya lempeng pisang di campur dengan susu tepung; nasi kerabu; tempe goreng; air bandung; masak lemak labu dan lain-lain.  Berkhasiat.  Murah pun murah.  Masak pun cepat dan senang,"  Sampuk Nenek C yang duduk di depan kami.
"Anak akak macam mana?"  Sekoyong-koyong 5 pasang mata menumpu kepada saya.
"Peringkat  minggu pertama dan kedua kami berbuka ala kadar aje.  Nasi dengan 1 jenis lauk, 1 jenis sayur dan sejenis kuih kegemaran anak-anak.  Ikut giliran 3 beradik tu lah.  Bersahur sekadar nasi goreng ke .  Masuk minggu ke tiga nie lagi ringkas air Horlick, roti dan cereal.   Tapi kami sekeluarga ambil suplement."  Ujar saya ikhlas. 
"Ehh... kesian budak-budak tengah membesar disekat kehendaknya.  Biarlah dia makan yang berat-berat"  Nenek C menyatakan kurang senangnya dengan perkongsian amalan ahli keluarga saya.
Yang lain hanya tersenyum sinis.   Saya juga tersenyum penuh pengertian bahawa misi dan wawasan keibuan kami ada perbezaan.  Baik latar zaman, pendidikan dan pengalaman hidup dalam mengharungi kehidupan fana ini.

Di sini saya mahu berkongsikan falsafah kehidupan.   Hidup sederhana mengikut Sunnah dan Amalkan Ibadah Demi Kesejahteraan Ummah.   Ilmu yang telah diperolehi diamalkan dan dikongsikan, semoga manfaatnya berpanjangan.  Insya-Allah.

Bagaimana saya mendapat ilham membina misi dan wawasan keibuan tersebut di atas?
Hal ini adalah hasil pemikiran yang matang sejak 2007 ketika melakukan Umrah.   Hanya tahun ini saya dapat melaksanakan sedikit demi sedikit dalam kehidupan seharian.   

Kesedaran ini tambah jelas apabila menginsafi akan kebangkitan masyarakat Aceh selepas musibah Tsunami.    Ya... saya berpeluang terlibat Misi Bantuan Kemanusiaan pada minggu ke-2 selepas kejadian  hingga menjelang sambutan Hari Raya Aidil Adha 2004.   Penawar kesedihan dan kesengsaraan untuk bangkit adalah kesederhanaan.   Nikmat kesyukuran masih bernyawa membangunkan kudrat bagi terus beribadah dan melangsungkan kehidupan begitu sederhana sekali.

Oleh itu saya mengambil langkah awal mengasuh 2 orang putera dan seorang puteri saya akan kehidupan yang sederhana berlandaskan asas keperluan seorang insan berdasarkan keupayaan ekonomi dan tuntutan Ad-din.   

Mengapa?   Apabila suatu hari nanti mereka merantau dan dihimpit kepayahan, jiwa mereka  akan kental untuk berikhtiar berdasarkan sumber asas yang dimiliki.   Sentiasa bersyukur selagi mampu menghidu udara.  

Cerita kepayahan zaman remaja Allahyarham Datuk mereka (Allahyarham ayahnda saya Haji Khaironi) pada zaman penjajahan Jepun dan kecekalan anak-anak yatim piatu mangsa Tsunami sering dikongsikan dengan anak-anak.  Agar ia menjadi inspirasi meniti kehidupan  yang penuh cabaran.   

Pada masa yang sama,  matlamat saya agar mereka mensyukuri apa sahaja yang disajikan oleh ayahnda mereka tanpa banyak bicara.

Namun demikian saya sering menekankan kepentingan ilmu agama dan pendidikan adalah harta yang kekal.  Budi bahasa adalah pakaian yang paling indah.  Kebersihan diri dan kesucian keikhlasan hati adalah tiket asas memaju ketamadunan yang hakiki.

Semuanya bermula dari juadah berbuka dan bersahur yang sederhana.  






Jumaat, 26 Julai 2013

MEMBIMBING KANAK-KANAK MENIMBA PENGALAMAN BERPUASA

"Ibu, Kakak nak puasa"  Anak kecil 5 tahun menyatakan hasrat hatinya kepada ibu.
"Kakak kecil lagi lah.  besar sikit baru boleh puasa"  Balas Si ibu.
"Ibu, cikgu cakap kita kena puasa"  Anak menjelaskan kenapa dia hendak berpuasa.
"Kalau macam tu, kakak puasa botol susu dulu.   Bila kakak tidak minum susu botol pada siang hari, baru Ibu ajar puasa."  Si ibu memberi syarat.
"Okey"  Si anak menjawab lesu.


Kisah ini menarik untuk saya kongsikan.   Oleh kerana Si Kecil mempunyai keyakinan diri berbincang dengan Ibu akan hasrat hatinya untuk berpuasa.  Dia dalam proses mahu mengamalkan ilmu yang diperolehi daripada cikgunya.  Yang paling bertuah,  Si Kecil telah mendapat hidayah untuk belajar berpuasa.   Subhanallah.   Beruntung Si Ibu yang memiliki anak seperti ini.

Apabila cerita ini diajukan kepada saya, dan Si Ibu mohon pandangan maka berikut adalah perkara-perkara yang dicadangkan untuk beliau  pertimbangkan.

-   sebelum tidur bernasyidlah dengan Si Kecil  akan niat puasa (rujuk Niat Puasa nasyid Raihan)
-   jelaskan jam 6 pagi Ibu akan kejut bangun sahur.  Ceritakan sirah Rasulullah akan kepentingan sahur.
-   berikan peluang Si Kecil merasai pengalaman bersahur bersama ibu dan ayah serta keluarga lain
-   pastikan tiada makanan di atas meja makan atau sembunyikan botol susu dan susunya
-   mulakan latihan ini pada hujung minggu ketika Si Ibu ada di samping mereka
-  cadangan kepada Si Ibu sediakan carta Pengalaman Pertama Berpuasa Saya.  Tarikh / Masa bermula 6 pagi hingga 7 petang.   
-  sebelum Si Kecil masuk tidur, berikan stiker kepada Si Kecil untuk ditampalkan dalam kotak ruangan waktu dia berjaya menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari.
-  beri galakan kepada Si Kecil untuk tingkatkan ketahanan diri untuk 'berpuasa'
-  hindarkan janji memberi duit raya sebagai ganjaran kepada Si Kecil
-  perdengarkan Sirah bahawa orang berpuasa, di syurga nanti akan berbau wangi dll syafaat puasa
-  berilah dakapan dan ciuman sayang kepada Si Kecil dengan iringan ucapan "Terima kasih anak Ibu kerana cuba  buat ibadah puasa seperti Nabi Muhamman S.A.W. buat masa bulan Ramadhan.  Allah merahmatimu"


Bagaimanapun Si Ibu menyatakan kegusaran, takut Si Kecil mendapat mudarat.

Ini pula motivasi saya kepada Si Ibu;

-   Si Kecil sedang melakukan amali secara 'main-main' dengan kerelaan dan kesediaan diri sendiri,  Insya-Allah akan memelihara dirinya
-   Jikalau Si Kecil kata lapar, cuba berikan Si Kecil sedikit air masak dan sebiji kurma
-  Atau secawan susu dengan 2 keping biskut
-  langkah-langkah menu di atas sebagai persediaan Si Kecil zuhud kepada Allah.
-  tunjukkan gambar kanak-kanak sebaya Si Kecil yang kekurangan makanan
-  didikkan semangat syukur kepada nikmat Allah yang dimiliki


Sekiranya, membawa Si Kecil berbuka di luar, elakkan daripada pembaziran.   Asuh Si Kecil ambil potion makanan sedikit-sedikit.   Ini juga peringatan kepada Si Ibu dan Bapa, kerana Si Kecil seorang pemerhati yang aktif.   Mereka akan meniru segala perbuatan dan amalan Ibubapanya.

Setiap ibu bapa mendampakan anak yang soleh dan solehah.   Maka asuh dan bimbinglah Si Kecil anda melakukan ibadah di awal usia walaupun secara main-main.  Bukan olok-olok.

Selamat Menjalami Ibadah Puasa dan Berbuka Nanti.

17 Ramadhan 1434H, Jumaat 26/7/2013







TEMUDUGA .....PENDIDIK TASKA


sALAM Sejahtera.

Saya sambung .... perkongsian berkenaan menghadiri temuduga dalam kerjaya pendidikan awal kanak-kanak.

Selaku calon yang bakal menghadiri temuduga, anda perlu melengkapkan diri dengan maklumat tugasan selaku pendidik  di  taska.  aNDA perlu tahu apakah aktiviti rutin?  Bagaimana merancang aktiviti untuk kanak-kanak mengikut kumpulan umur 2 bulan hingga 4 tahun?  Lagu kanak-kanak yang sesuai dengan perkembangan bahasa, kognitif, sosio-emosi dan bahasa juga perlu diketahui.   Malah anda turut perlu melengkapkan diri dengan tips-tips pengurusan ragam kanak-kanak.

Serlahkan keyakinan diri dan keikhlasan hati anda untuk berkhidmat kepada kanak-kanak.   

Jikalau anda memiliki gambar ABM aktiviti kanak-kanak juga digalakkan lampirkan sebagai rujukan.  Oleh kerana itu membuktikan kesungguhan dan pengalaman anda dalam bidang ini.

"Masalahnya... gaji staf  TASKA  kecil.  Tidak setanding dengan kelayakan kami graduan Diploma?"

OOo, pasal gaji.  Kalau hendak gaji tinggi anda boleh cuba di Taska Tempat Kerja Organisasi Swasta.     Insya-Allah sistem pengurusannya lebih terjamin.  

Bagaimanapun kepada anda yang lebih selesa bekerja dalam kumpulan kecil dan tidak gemar bersosial, mungkin TASKA komuniti dan persendirian sesuai untuk anda menimba kemahiran dan membina pengalaman awal dalam bidang ini.  Yelah.... rezeki Allah walaupun kecil jumlahnya jika berkah tetap membawa manfaat kepada diri dan keluarga.

Hak memilik bakal majikan adalah ditangan anda.   Selamat Maju Jaya.



Ahad, 30 Jun 2013

MENUJU GERBANG DUNIA KERJAYA

29 jUn 2013, Sabtu,  Taman Metropolitan, Kepong.  Atau dikenali sebagai Taman Layang-layang.  Kami berpeluang lepak santai dengan adik-adik junior Kolej Perkembangan Awal Kanak-kanak yang telah tamat menjalani praktikal di Tadika Ar-Razi.  

Jelas terpancar keterujaan mereka yang mahu melangkah ke dunia kerjaya pendidikan awal kanak-kanak.  Insya-Allah mereka ini akan menyertai Minggu Kerjaya di kolej pada 8 dan 9 Julai nanti.

Strategi - Persiapsiagakan Diri.

A.  Peringkat Persiapan Awal.

1.   Sediakan 3 salinan Resume/Biodata Diri dan segala salinan sijil berkaitan pelajaran, sijil korikulum,
      kursus, penghargaan.  Kenapa?  Untuk diserahkan kepada agensi yang akan menemuduga anda.
2.   Bawa bersama anda folder salinan asal setiap sijil di atas.
3.   Pastikan tampal gambar ukuran paspot di resume anda.
4.   Sediakan lampiran gambar ABM kreatif  yang TERBAIK anda semasa praktikal dan aktiviti yang
      dijalankan bersama kanak-kanak.    Buat catatan ringkas akan nama jenis perkembangan, kemahiran  
     dan umur kanak-kanak yang terlibat dan hasil P&p yang dicapai.
5.  Hafal satu lagu kanak-kanak.  Kemudian fikirkan jawapan sekiranya ditanya
      "Kenapa anda memilih lagu tersebut?"  Point yang perlu ada dalam jawapan anda adalah;:
                                       -   merangsang  perkembangan bersepadu
                                       -   beri contoh   lirik lagu yang anda nyayikan kelak bahagian mana sesuai dengan
                                            perkembangan kognitif, bahasa, kerohanian dan fizikal beri contoh gerakan
                                            kreatif yang dilakukan semasa menyayikan lagu tersebut..
6.   Buat latihan karangan pendek 180 perkataan in English
      "Why I choise as early child educator?".  Dalam masa 10 minit.
      Bahasa Melayu.... kacang je....

                                                       Insya-Allah, bersambung esok...........

Jumaat, 24 Mei 2013

Berikan Ruang Untuk Kanak-Kanak Berkarya Kreatif

" Kak Ngah, Usu tersentuh sangat bila balik dari tadika hari ni, 
Masyita *** beri kad ucapan hari ibu yang dia lukis dan tulis sendiri" 

"Walaupun tak cantik mana.  Usu bangga dengan dia.  
Terima kasih Kak Ngah kerana selalu ingatkan Usu 
suatu hati bila tiba masanya Masyita boleh menulis jugak.  
Tak perlu paksa-paksa anak.  Nie mungkin berkat tak kena marah lagi 
bila menconteng dinding.  Jadi dia kreatif."  

Ucapan itu diakhiri dengan gelak.

Coretan situasi di atas menjadi penjelasan kepada penyataan Assoc. Prof. Dr Bustam Kamri, (Ed.D.) dalam artikel blog beliau bertajuk    Proses Kreativiti Bukan Hasilnya;




"Memahami adalah proses bukan hasil yang diperlukan oleh kebanyakan kanak-kanak. Kehidupan kita dalam orientasi kerja, budaya menumpukan penghasilan kadangkala kita terlepas pandang kepada perkara yang mudah untuk keseronokan melakukan sesuatu demi kepuasan diri. Kanak-kanak bagaimana pun mendapatkan kepuasan lebih daripada keseronokan. Mereka melalui proses dan mengembirakan saat yang dilalui. Oleh itu tidak perlu tergesa-gesa untuk menghabiskan sesuatu atau merasa tekanan kepada menyiapkan sehingga selesai. Kanak-kanak merasa seronok membawa pulang hasil rekaannya."

Senada dengan itu, saya mengingatkan diri bahawa pendidik awal kanak-kanak elakkan sikap menggesa kanak-kanak menyiapkan sesuatu tugasan mengikut perspektif  kehendak diri.  Iaitu kerja yang kemas, lukisan yang berwarna cantik serta letak atur yang sempurna.  Contohnya warna daun mesti hijau.  Jangan marah atau herdik wajah ibu yang dilukis diwarnakan hitam.

Sebaliknya berkomunikasilah dan santunilah kanak-kanak bagi mencari jawapan kepada seni keunikan kreatif mereka itu.   Pastinya anda akan menemui rasional menerusi luahan kata-kata dari mulut mungil mereka atau hanya  bahasa senyap.  Di sini kita selaku pendidik perlu peka akan signal gerak-geri tutur gerak badannya yang sepi.

Berdasarkan pengamatan saya, aktiviti seni dan kraflah kita dapat berseronok dan berseloroh dengan anak-anak didik ketika melakukan hasil kerja mereka.  Namun dalam persekitaran yang terkawal.  

Saya amat berpuas hati kerana kanak-kanak ini akan merayu-rayu untuk membawa pulang hasil kerja mereka.

"Ala... teacher, boleh lah.  Saya nak tunjukkan pada mama". 

" Saya pun"

Hubungan bonding antara pendidik dan kanak-kanak pun terjalin.    Memang best!

*** Masyita baru berumur 4 tahun.



Ahad, 14 April 2013

GAJI MINIMUM RM 900.00 STAF TASKA

     dEWASA KINI sedang hangat tentang isu gaji minimun RM 900.00 STAF TASKA. Ramai pengusaha yang pening kepala.  Malah dilaporkan majikan telah mendapat penangguhan melaksanakannya.

Oleh kerana majoriti pengusaha 100% bergantung kepada hasil kutipan yuran tahunan.   Jadi untuk menaikkan gaji staf, mereka perlu menaikkan yuran kemasukan dan bulanan para pelanggannya.  

Akibatnya, ramai ibu bapa mulai gusar dengan ura-ura kenaikan yuran bulanan taska.  Mereka amat terbeban.  Khususnya kepada ibu bapa yang mempunyai anak lebih daripada seorang yang dihantar di taska sebab tuntutan ekonomi.  Hal ini menjadi topik panas dalam beberapa pertemuan dengan kalangan ibu muda di majlis perkahwinan dan majlis tahlil atau marhaban.

Saya memberi pandangan peribadi yang ikhlas setelah dipinta oleh mereka.  Di sini saya ingin berkongsi dengan anda semua.  Oleh kerana saya adalah seorang ibu kepada 3 orang anak.  Juga pernah bertugas selaku pengasuh dan Penyelia TASKA.  Hendak tahu pendapat saya?

Jawapannya, memang kakitangan taska berhak menerima bayaran upah/gaji minumun RM 800.00 hingga RM 900.00 sebulan.

Oleh kerana mereka bertugas bermula jam 7.00 pagi hingga 7.00malam.  Terdapat sesetengah organisasi taska seawal jam 6.30pagi.  Kemudian staf yang sama perlu stay-back hingga jam 9.00 malam sebab ibu bapa terpaksa balik lewat atas urusan kerja.  Bayaran overtime yang staf ini terima kadang-kala 1 jam hanya RM 2- RM 5/= SAHAJA.  Dan ia dikira selepas jam 7.30 malam.  

Tahukah anda menjaga, mengasuh dan mendidik kanak-kanak amat tinggi cubaannya.  Kerapkali apabila bersimbang dengan kakitangan taska, mereka memang terkejar-kejar  bagi memenuhi keperluan diri.  Umpamanya seperti waktu solat, rehat dan makan.  Kalau diikutkan tempoh masa mereka bersama anak-anak anda lebih 12 jam.   

Pagi anda hantar anak busuk masam , namun petang apabila anda jemput anak anda, mereka sudah comel dan wangi.  Sebilangan besar balik anak tinggal tidur aje.

Walhal pada waktu siangnya anak-anak comel ini telah diberi ilmu asas kehidupan daripada para pendidik ini dengan penuh kasih sayang dan amanah serta bertanggungjawab.  

Paling bahagia jikalau tiba-tiba julung-julung kalinya anak kecil anda yang masih pelat telah boleh membaca Surah Al-Fatihah dan maknanya secara bernasyid dengan gaya sekali.  Mahupun telah pandai menyuap makanan sendiri.  Dan sebagainya.

Berbaloi ke dengan bayaran yuran RM 250 hingga RM 350 sebulan.  Anda sendiri pun tidak teringin sama sekali bukan. Tahukah anda terdapat segelintir pendidik ini memiliki degree dan diploma?.  

ATAUPUN satu lagi alternatif para PENGUSAHA dan PENDIDIK AWAL KANAK-KANAK boleh usahakan untuk meningkatkan pendapatan diri adalah dengan cara;

1.   Menganjurkan siri 'play group' kepada anak-anak antara 16 bulan hingga 9 tahun pada hujung minggu.  Durasinya antara jam 10.00 pagi hingga 11.30 pagi, dengan kadar bayaran RM 30.00 sekepala.  Aktiviti yang dijalankan melibatkan circle time, aktiviti perkembangan sosio-emosi, kognitif, bahasa, fizikal serta islamiyat/hafazan.

2.   Menganjurkan kursus keibubapaan berkenaan SPA Bayi; menangani tenteram anak;  perihal merangsang perkembangan fizikal, bahasa, sosioemosi dan kognitif anak 2 hingga 4 tahun.  Dan banyak lagi topik.  

3.   Menganjurkan Kem Cepat Baca usia 6 hingga 9 tahun, ketika hujung minggu atau cuti sekolah.

4.   Mengadakan Kem Bestari Solat.

5.   Mengadakan Kem Chef Cilik pada cuti sekolah.

Hooi... banyak lagi program berbayar yang boleh menambahkan poket anda.  

Akhir kata kembali kepada pilihan anda. 

PERSEDIAAN MENGAJAR BUAT PENING KEPALA JE...

      "I nak mulai hari ini semua teacher hantar lesson plan selewat-lewatnya pada petang Isnin. Tapi kalau tak siap juga hantar aje sebelum hari Rabu." tegas Penyelia.

     Aku mendengar dan mencatat peringatan tersebut dengan pen warna merah BOLD LETTER dan circle lagi you perkataan B4 MONDAY/ MONDAY MORNING - LESSON PLAN.   

     Kelihatan ramai wajah kelat pada staf meeting petang itu.   Rupanya terdapat 2/3 orang teacher senior sering menghantar lesson plan lewat.   Kemudian copy paste pula.    Aku terus bermunajat dalam hati agar diri ini terus diberi disiplin diri dan kelapangan waktu untuk melaksanakan tanggungjawab merangka aktiviti pengajaran dan pembelajaran dalam lesson plan record book tanpa miss dan on time.

      Kenapa membuat lesson plan perlu dilaksanakan?   Kita amat perlu menyediakan lesson plan P & P sebagai persiapan diri dalam menggurus perjalanan aktiviti dengan anak-anak didik.  Keduanya, kita dapat merangka kesinambungan pengajaran silibus pembelajaran berdasarkan keperluan target kalender tahunan tadika/taska. Ketiganya,  isi kandungan P & P tersebut menjadi rujukan teacher sekiranya terdapat ibu bapa yang bertanyakan perkembangan pembelajaran anak mereka.  Keempatnya,  ia memudahkan teacher menyediakan bahan maujud bantu mengajar.   Oleh kerana kanak-kanak pada awal usia ini lebih cenderung kepada penglibatan diri dalam aktiviti pembelajaran secara hand-on yang melibatkan sensory motor mereka.  

     "Susah lah, nak buat lesson plan ni.  Lagipun murid kita cuma 10 orang je.  Apa nak susah-susah.  Dulu kat tadika lama I tak de pun benda remeh-temeh macam ni." Gerutu Si Cinta.   

   Sayang...oiii,  bukan ke kita perlu sentiasa muhasabah diri  dan melakukan refleksi  untuk menerobos kejayaan diri dengan sentiasa meningkatkan kecekapan diri.   Maka, tiada masa untuk bermain alasan dan bisik-bisik belakang.   Tindakan yang sebaik-baiknya jikalau tidak begitu jelas akan sesuatu topik atau kekeringan idea untuk merangka aktiviti untuk active learning maka bertanya dan berbincanglah dengan mereka yang tahu.  Kepayahan akan menjadi senang apabila kita telah biasa melakukannya sebagai rutin.

     Tips yang teacher perlu faham adalah senarai hasil pembelajaran bagi pembelajaran bertema dan teras.  Pembelajaran bertema ini memfokuskan kepada active learning dan komunikasi seperti vocabulary dan perbendaharaan kata serta sebutan..  Manakala teras banyak merujuk kepada buku/dokumen lembaran kerja silibus tadika atau taska.  

      Kesimpulannya, semua pendidik perlu buat catatan rancangan mengajar.  Oleh kerana sekiranya kita cuti kecemasan, teacher ganti kelas kita ada idea apa nak buat bersama-sama anak-anak didik kita. Kemudian ia perlu disusuli dengan catatan  rekod pencapaian anak-anak didik menerusi pemerhatian dan assessement pula.   Dari situ barulah kita dapat meninjau keberkesanan kaedah pengajaran kita.  Jadi kita dapat memperbaiki mana yang lemah dan kekurangan umphh.  Sebaliknya, kekuatan diri kita perlu ditingkatkan ke peringkat yang terbaik.

    Apa tunggu lagi, jom kita sama-sama siapkan persediaan mengajar untuk esok.  Caya lah....
Wallahuallam bissowab.


Misi Ramadhan 1445H

Salam Ukuwah. Alhammdulillah.   Dengan izin Ilahi dapat bertaut kembali dengan blog saya ini.    Oleh itu saya akan berkongsi insight berken...